Lelaki ditahan bawa 80 batang kayu tanpa permit sah

RINGKASAN BERITA AI
  • Seorang lelaki 33 tahun ditahan selepas gagal mengemukakan permit sah semasa pemeriksaan anggota.
  • Siasatan awal mendapati kayu diperoleh dari pekebun sekitar Batu Karang, Pasir Mas dan dihantar ke kilang kayu di Pasir Mas.
  • Suspek mengaku menggunakan lori persendirian dua tahun untuk pemindahan kayu tanpa mematuhi waktu Jabatan Perhutanan; kes disiasat mengikut Seksyen 68.

RANTAU PANJANG, 28 Julai – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara menahan seorang lelaki dan merampas 80 batang kayu pelbagai saiz bersama sebuah lori dengan nilai keseluruhan rampasan RM40,000 di Kampung Kubang Kuau, di sini, hari ini.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain berkata, suspek lelaki berusia 33 tahun itu ditahan kira-kira pukul 12 tengah hari selepas gagal mengemukakan permit sah bagi pemindahan kayu yang dibawanya.

Beliau berkata, anggota PGA yang sedang menjalankan rondaan menahan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan di laluan Kampung Kubang Kuau menghala ke Chabang Empat Salam sebelum menjalankan pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan menemukan 80 batang kayu pelbagai saiz di dalam lori terbabit, namun suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit pemindahan kayu yang sah.

“Siasatan awal mendapati suspek memperoleh kayu daripada pekebun di sekitar Batu Karang, Pasir Mas sebelum dihantar ke sebuah kilang kayu di Pasir Mas untuk diproses, ” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lelaki berusia 33 tahun ditahan PGA kerana disyaki memindahkan kayu tanpa permit sah/Foto PGA Briged Tenggara

Beliau berkata, suspek mengaku menggunakan lori persendirian bagi menjalankan kerja pemindahan kayu sejak kira-kira dua tahun lalu dan melakukan pemindahan berdasarkan permintaan pemilik kebun tanpa mematuhi waktu yang ditetapkan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan serta tanpa permit yang sah.

Katanya, suspek bersama lori dan kayu yang dirampas diserahkan kepada Unit Operasi dan Penguatkuasaan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 68 Akta Perhutanan Negara 1984.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.