Enam pegawai imigresen antara 12 ditahan dalam Op Crack

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 29 Julai – Enam pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) antara 12 individu yang ditahan selepas disyaki terlibat kegiatan menggodam Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) bagi memproses serta meluluskan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) secara tidak sah.

RINGKASAN BERITA AI
  • 1,306 PLKS palsu dikeluarkan menyebabkan kerugian kerajaan dianggarkan RM2.4 juta.
  • Tangkapan melibatkan dua pengarah syarikat, tiga warga asing dan seorang pegawai polis.
  • Operasi hasil perkongsian risikan SPRM dan Bahagian Perisikan JIM sejak Mei di Lembah Klang dan Pulau Pinang.
  • CyberSecurity Malaysia, Telekom Malaysia dan Bahagian Forensik Teknologi SPRM membantu siasatan teknikal; penggeledahan di premis syarikat dan pejabat JIM.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, tangkapan menerusi Op Crack itu turut melibatkan dua pengarah syarikat, tiga warga asing dan seorang pegawai polis.

Beliau berkata, semua suspek berusia lingkungan 30-an hingga 40-an ditahan petang semalam di Ibu Pejabat SPRM dan JIM Pulau Pinang.

“Hasil siasatan awal mendapati sindiket ini menggunakan kuota PLKS tahun 2011 tanpa membuat bayaran levi pas yang dikeluarkan.

“Sebanyak 1,306 PLKS palsu dikeluarkan menyebabkan kerugian kepada kerajaan dianggarkan RM2.4 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Operasi itu dijalankan hasil perkongsian maklumat risikan antara Bahagian Perisikan SPRM dan Bahagian Perisikan JIM yang dijalankan sejak Mei lalu di sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang.

CyberSecurity Malaysia, Telekom Malaysia serta Bahagian Forensik Teknologi SPRM turut membantu siasatan berkaitan aspek teknikal bagi memastikan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara menyeluruh.

Penggeledahan turut dilakukan di premis syarikat serta pejabat JIM di Pulau Pinang dan Putrajaya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009.

Semua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini bagi permohonan reman.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.