
RANTAU PANJANG, 24 Jun – Kira-kira 1,800 pod vape atau rokok elektronik pelbagai perisa bernilai RM180,000 dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Lubok Stol di sini, semalam.
- Anggota Risik dan Task Force PGA menyerbu premis kira-kira pukul 6 petang, menahan seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun.
- Suspek mengaku terlibat dalam penyeludupan pod vape sejak kira-kira dua tahun lalu dan bekerja dengan seorang lelaki warga Thailand.
- Suspek menerima bayaran RM20 setiap kotak; produk dihantar ke Thailand melalui pangkalan haram, kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Kawalan Produk Merokok.
Dalam operasi Op Taring Wawasan Kelantan kira-kira pukul 6 petang, sepasukan anggota Risik dan Task Force PGA menyerbu premis berkenaan sebelum menahan seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain berkata, hasil pemeriksaan di premis terbabit menemukan 1,800 pod vape pelbagai perisa yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.
“Siasatan awal mendapati suspek mengaku terbabit dalam aktiviti penyeludupan pod vape sejak kira-kira dua tahun lalu.
“Suspek dipercayai bekerja dengan seorang lelaki warga Thailand yang menguruskan tempahan stok vape dari Kuala Lumpur sebelum dihantar ke premis berkenaan menggunakan perkhidmatan kurier,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut Ahmad Radzi, siasatan mendapati suspek menerima bayaran RM20 bagi setiap kotak pod vape yang diuruskan sebelum produk berkenaan diseludup ke Thailand melalui pangkalan haram di Rantau Panjang.
Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024.
Suspek bersama barang rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Daerah Pasir Mas untuk tindakan lanjut.