
TANAH MERAH, 24 Jun – Cubaan menyeleweng 300 liter petrol untuk diseludup ke Thailand gagal apabila Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas bekalan bahan api itu bersama sebuah kereta yang ditinggalkan suspek di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Lalang Pepuyu, semalam.
- Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM11,116.
- Pemeriksaan menemui 10 tong plastik mengandungi petrol dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.
- Kes dirujuk kepada KPDN Tanah Merah dan disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM11,116.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain berkata, pemandu bertindak memecut ke arah kawasan ladang kelapa sawit sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.
“Anggota PGA mengekori kenderaan itu sebelum menemukannya ditinggalkan dalam keadaan tergesa-gesa dengan tingkap bahagian pemandu terbuka dan tidak berkunci.
“Modus operandi sindiket mengisi minyak di setiap stesen minyak yang tiada pengawasan pihak berkuasa.
“Suspek hanya mengisi sekali sahaja sehari bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa atas kesalahan membeli minyak berulang kali distesen yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut menemukan 10 tong plastik mengandungi kira-kira 300 liter petrol yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.
Siasatan awal mendapati petrol berkenaan dipercayai diperoleh dari beberapa stesen minyak sekitar Jeli dan Tanah Merah sebelum dipindahkan ke dalam tong plastik.
Kes dirujuk kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Tanah Merah untuk tindakan lanjut
Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.