
GERIK, 8 September – Laluan sukar dan dipenuhi pokok tumbang menjadi antara faktor enam pendaki Ekspedisi Trans Gerah yang dilaporkan hilang di Gunung Gerah, Kelantan, lewat tiba di Pos Kemar.
- Kumpulan memperoleh isyarat di Bukit Bongok, menghubungi keluarga; unit udara mengesan asap, membantu pasukan SAR mengenalpasti lokasi.
- Pasukan SAR menemui enam mangsa selamat tanpa kecederaan, mereka dihantar ke Pos Kemar untuk rehat dan pemeriksaan klinik.
- JBPM menekankan kepentingan SOP dan had umur bagi penglibatan kanak-kanak dalam pendakian; penyelamatan diutamakan mengikut tahap kecederaan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, kumpulan itu sepatutnya tiba di Pos Kemar pada Khamis lepas, namun hanya berjaya ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada Isnin.
“Selepas selesai melalui laluan Trans Gerah, Bilah, Biyeh (GBB), kumpulan itu meneruskan perjalanan ke Gunung Sepat dan Gunung Belatoh.
“Bagaimanapun, laluan berkenaan didapati sudah lama tidak dilalui pendaki dan dipenuhi pokok tumbang.
“Keadaan itu menyebabkan perjalanan mereka mengambil masa lebih lama, selain berdepan liputan telekomunikasi yang terhad,” katanya kepada media ketika ditemui di sini.
Petang Isnin, kumpulan berkenaan berjaya tiba di Bukit Bongok dan memperoleh isyarat telefon sebelum menghubungi keluarga bagi memaklumkan lokasi mereka.
Maklumat itu membolehkan pasukan SAR mengenal pasti kedudukan mereka, selain unit udara turut mengesan kepulan asap dipercayai isyarat yang dibuat kumpulan berkenaan.
Pasukan SAR kemudian digerakkan ke Pos Kulim dan berjaya menemukan kesemua enam mangsa dalam keadaan selamat serta tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mereka kemudiannya bergerak ke Pos Kemar untuk berehat dan mendapatkan pemeriksaan di klinik kesihatan.
Mereka dibawa keluar dari Pos Kemar ke Tasik Banding pagi ini sebelum dihantar ke IPD Gerik untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Datuk Sayani berkata, aspek Prosedur Operasi Standard (SOP) dan had umur bagi penglibatan kanak-kanak dalam aktiviti pendakian wajar diberi perhatian, khususnya bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.
Katanya, dari aspek operasi menyelamat, JBPM memberi keutamaan berdasarkan tahap kecederaan dan keadaan mangsa tanpa mengira usia.