
KERIAN, 8 Sept – Seramai empat ahli kumpulan Geng Man Kuda ditahan disyaki terlibat dalam 14 kes jenayah samun dan curi kereta di sekitar Perak, Kedah dan Pulau Pinang sejak Jun 2026.
- Penahanan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kerian menerusi Op Lejang hasil beberapa siri serbuan di Taiping dan Kulim pada 30 Ogos.
- Tangkapan melibatkan suspek berumur antara 24 hingga 49 tahun dengan rekod jenayah dan dadah.
- Kerugian dianggarkan RM200,000, modus operandi curi kereta dengan batang besi diubah suai dan melakukan samun terhadap mangsa di dalam rumah.
- Rampasan termasuk enam kenderaan curi; polis selesai sembilan kes curi/cubaan, dua kes samun dan tiga kes curi barang.
Penahanan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian menerusi Op Lejang hasil beberapa siri serbuan di Taiping dan
Kulim, Kedah pada 30 Ogos lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, kesemua yang ditahan berusia antara 24 hingga 49 tahun dan mempunyai pelbagai rekod
kesalahan jenayah dan dadah.
“Nilai keseluruhan kerugian dianggarkan RM200,000, mereka mencuri kereta mangsa yang di parkir di hadapan rumah dengan menggunakan
batang besi yang diubah suai dan melakukan samun ke atas mangsa yang berada di dalam rumah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian.
Turut dirampas ketika serbuan adalah enam kenderaan curi pelbagai jenama dan beberapa barang kes termasuk milik mangsa samun.
Beliau berkata, dengan tertumpasnya Geng Man Kuda, polis berjaya menyelesaikan sembilan kes curi dan cubaan curi kereta, dua kes samun dan tiga kes curi barang dalam kenderaan.
“Polis juga giat mengesan empat lagi suspek berusia antara 30 hingga 36 tahun yang disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan tersebut,”tegasnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan dengan senjata dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.
Kesemua tangkapan turut disiasat di bawah Seksyen 379/427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat semasa mencuri.