Jabatan Penjara tunggu surat rasmi sebelum laksana tahanan rumah – DS Saifuddin

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika sidang media selepas meninjau lokasi longkang di Taman Desa Kayangan di Kulim, susulan tragedi empat kanak-kanak maut terjatuh ke dalam longkang / Foto BERNAMA

KULIM, 19 September – Jabatan Penjara Malaysia masih menunggu surat rasmi berhubung keputusan Lembaga Pengampunan mengenai pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum menentukan tindakan selanjutnya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lembaga Pengampunan mungkin tentukan premis tahanan atau serahkan keputusan kepada Jabatan Penjara.
  • Datuk Seri Najib masih menjalani hukuman; tahanan rumah bermaksud beliau tidak di penjara tetapi di premis lain dengan prosedur tertentu.
  • Malaysia belum ada undang-undang khusus tahanan rumah; Kabinet setuju KDN gubal Rang Undang-Undang Tahanan Rumah.
  • Yang di-Pertuan Agong memperkenan pengampunan bersyarat kepada Najib; baki hukuman dijalani tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk denda RM50 juta.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, surat daripada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri selaku sekretariat Lembaga Pengampunan itu penting bagi menjelaskan butiran keputusan yang perlu dilaksanakan.

“Kita akan tengok dalam keputusan Lembaga Pengampunan itu sama ada dia tetapkan premis ataupun dia serahkan kepada Jabatan Penjara. Sebab itu saya kata saya nak tengok dulu surat itu.

Maksudnya sekarang ini tempoh Datuk Seri Najib masih menjalani hukuman penjara. Tahanan rumah bermaksud beliau tidak berada dalam penjara tetapi akan berada di satu premis lain dan tentu ada proses-prosesnya,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi keluarga empat kanak-kanak yang lemas terjatuh ke dalam longkang pada Isnin lalu, di sini, hari ini.

Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, setakat ini, Malaysia juga belum mempunyai undang-undang khusus berkaitan tahanan rumah.

Bagaimanapun, Kabinet telah memberikan persetujuan dasar kepada KDN untuk memulakan proses menggubal Rang Undang-Undang Tahanan Rumah, antaranya bagi menangani kesesakan penjara.

Beliau berkata ketika ini kira-kira 93,000 penghuni ditempatkan di 41 penjara di seluruh negara, berbanding kapasiti sekitar 75,000 orang.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Datuk Seri Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.