Lelaki hilang tiga hari ditemukan maut tersangkut di celah batu

Foto RTM

BAU, 19 September – Misteri kehilangan seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas ke kebun keluarganya sejak Rabu lalu terjawab apabila mayatnya ditemukan di Hutan Ropi, Krokong, di sini petang tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mangsa dikenalpasti sebagai Clement Chimiet Condos, 29 tahun, juruteknik sampel tanah.
  • Dilaporkan keluar rumah pada 16 September; kali terakhir dilihat di kebun keluarga, Kampung Fairy Lorong 5, Bau.
  • Mayat diserahkan kepada polis; operasi SAR melibatkan JBPM, PDRM, APM serta orang awam; punca masih disiasat.

Mangsa, Clement Chimiet Condos, 29 tahun, yang merupakan seorang juruteknik sampel tanah, ditemukan tersangkut di celah batu kira-kira 500 meter dari rumahnya pada kira-kira 2.50 petang.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A Rahman berkata, mangsa sebelum itu dilaporkan keluar dari rumah pada 16 September dan kali terakhir dilihat berada di kebun milik keluarganya di Kampung Fairy Lorong 5, Bau.

Keluarga mangsa yang menyedari beliau tidak pulang ke rumah sehingga malam berkenaan kemudian membuat laporan polis.

Susulan laporan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan dengan penglibatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta orang awam.

Pada hari pertama operasi, pasukan SAR menjalankan pencarian di kawasan sungai dan bukit sebelum operasi ditangguhkan pada 5.30 petang berikutan keadaan semakin gelap.

Pencarian kemudian diteruskan pada hari berikutnya dengan kawasan operasi diperluas.

Punca kejadian masih dalam siasatan pihak polis.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.