
KOTA BHARU, 20 September- Pengaruh pasangan sama ada suami atau teman lelaki antara punca utama jumlah penagih dadah dalam kalangan wanita di Kelantan meningkat pada tahun lepas iaitu sebanyak 598 orang berbanding 526 pada tahun sebelumnya.
- Pasangan mendorong keterlibatan wanita dalam dadah melalui konflik rumah tangga, tekanan emosi, manipulasi dan pengabaian.
- Dadah jenis amphetamine paling kerap diambil oleh wanita, dengan penglibatan tertinggi dalam kalangan belia 19 hingga 39 tahun.
- RPDK menunjukkan keberkesanan; Indeks Kepulihan Klien wanita mencapai 76.4 peratus, mencerminkan sokongan pemulihan dan keluarga.
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata kajian mendapati bahawa tekanan hidup merupakan faktor utama yang diakui oleh keseluruhan responden dengan sebahagian besarnya berpunca daripada konflik rumah tangga dan perlakuan suami yang sering mencetuskan masalah.
“Keadaan ini mendorong wanita menggunakan dadah sebagai satu mekanisme daya tindak untuk melupakan keresahan dan sakit hati terhadap pasangan mereka,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Datuk Ruslin berkata selain tekanan emosi, wanita juga sering menjadi mangsa manipulasi psikologi oleh pasangan yang menormalkan penggunaan dadah atas alasan kecantikan dan produktiviti.
“Mereka juga turut dipengaruhi oleh orang terdekat untuk mempercayai bahawa dadah jenis stimulan dapat membantu menguruskan badan, mengempiskan perut selepas bersalin serta memberikan tenaga berlebihan untuk menyelesaikan kerja rumah dengan lebih pantas.
“Realiti di lapangan menunjukkan bahawa penglibatan wanita di negeri ini jarang berlaku secara sendirian sebaliknya, risiko keterlibatan menjadi sangat tinggi apabila mereka hidup dalam persekitaran keluarga yang mempunyai ahli (terutamanya suami) yang turut menagih,” katanya.
Beliau berkata kitaran ini menjadi semakin buruk akibat faktor pengabaian dan kesunyian khususnya selepas berlaku perceraian atau keretakan hubungan yang menyebabkan wanita mencari ketenangan sementara melalui bahan terlarang.
“Dadah jenis Amphetamine-Type Stimulants merupakan bahan terlarang yang tertinggi diambil oleh golongan wanita di Kelantan pada tahun lepas iaitu seramai 557 orang, manakala golongan belia berusia 19 hingga 39 tahun mencatatkan paling ramai terlibat penyalahgunaan dadah dengan merekodkan sebanyak 409 orang.
“Secara tuntasnya, penagihan wanita di Kelantan sering kali merupakan manifestasi daripada tekanan interpersonal dan manipulasi oleh pasangan dalam sebuah ekosistem domestik yang tidak sihat,” katanya.
Beliau berkata AADK turut mengukur keberkesanan atau pencapaian Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK) berdasarkan Indeks Kepulihan Klien (IKK) dan pencapaian tersebut bagi klien wanita mencapai 76.4 peratus pada tahun lepas.
“Daripada 55 klien wanita yang dinilai, sebanyak 42 orang berjaya mencapai tahap kepulihan dalam kategori baik dan cemerlang. Angka ini mencerminkan keberkesanan sokongan pusat pemulihan dan penglibatan aktif keluarga dalam membantu klien wanita mengekalkan kepulihan mereka dalam komuniti,” katanya. -BERNAMA