SOP tahanan rumah DS Najib dimuktamadkan selepas surat rasmi diterima – Peguam Negara

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar / Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 19 September – Jabatan Penjara Malaysia akan memuktamadkan prosedur operasi standard (SOP) bagi pelaksanaan tahanan rumah Datuk Seri Najib Tun Razak selepas menerima surat rasmi berhubung keputusan Lembaga Pengampunan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peguam Negara: SOP akan memperincikan aspek lawatan, kawalan dan pemantauan pergerakan bekas Perdana Menteri.
  • Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib untuk tahanan rumah hingga 23 Ogos 2028, tertakluk pembayaran denda RM50 juta.
  • Lembaga Pengampunan pada 2 Februari 2024 mengurangkan hukuman penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun dan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, SOP berkenaan antara lain akan memperincikan aspek lawatan, kawalan dan pemantauan pergerakan bekas Perdana Menteri itu.

“Saya difahamkan akan ada SOP yang dikeluarkan bagi tujuan tahanan rumah,” katanya ketika dihubungi RTM hari ini.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib bagi menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta syarat yang ditetapkan.

Datuk Seri Najib, 73 tahun, sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bersalah atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Pada 2 Februari 2024, Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun dan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.