Gimenez yakin NSFC mampu bangkit tewaskan Sabah FC

Jurulatih Negeri Sembilan FC Daniel Gimenez Alcaniz / Foto BERNAMA

SEREMBAN, 16 Oktober – Ketua jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC), Daniel Gimenez optimis pasukannya mampu bangkit memburu kemenangan apabila menerima kunjungan Sabah FC dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, esok.

RINGKASAN BERITA AI
  • Gimenez tekankan pembentukan pasukan dengan taktikal dan pemain baharu memerlukan masa, namun kerja keras latihan akan membuahkan hasil.
  • Beliau fokus memastikan pemain memberi komitmen terbaik setiap hari bagi meningkatkan prestasi pasukan.
  • Penyerang baru Aboubakar Kamara dilihat penting untuk jentera serangan, tetapi masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri.

Sejak dilantik sebagai pengendali baharu, Gimenez masih belum meraih kemenangan di atas padang apabila kemenangan ke atas Kuala Lumpur City FC sebelum ini diperoleh secara percuma selepas perlawanan pada 22 Ogos lalu tidak berlangsung.

NSFC sebelum ini merekodkan satu keputusan seri dan dua kekalahan, sekali gus menjadikan pertemuan menentang Sabah sebagai peluang untuk meraih kemenangan di hadapan penyokong sendiri.

Gimenez mengakui proses membentuk pasukan dengan pendekatan taktikal serta pemain baharu memerlukan masa, namun percaya usaha keras dalam latihan mampu membuahkan hasil.

“Musim masih panjang dan perjalanan kami masih jauh. Kami baru bermula, jadi satu-satunya tekanan yang saya rasakan adalah untuk memberikan yang terbaik setiap hari dalam latihan demi pemain.

“Lambat-laun, kerja keras yang kami lakukan bersama akan membuahkan hasil. Kita sedar bahawa membina pasukan dengan idea, pemain dan jurulatih baharu memerlukan masa.

“Jadi, saya cuba menikmati proses ini dan menjadi sebahagian daripada kelab ini tanpa sebarang tekanan,” katanya.

Beliau menegaskan fokus ketika ini adalah memastikan pemain terus memberikan komitmen terbaik bagi meningkatkan prestasi pasukan.

Dalam perkembangan lain, Gimenez menyifatkan kehadiran penyerang baharu, Aboubakar Kamara sebagai tambahan penting kepada jentera serangan NSFC.

Bekas pemain Fulham FC itu mempunyai profil berbeza berbanding penyerang sedia ada, selain membawa pengalaman yang mampu memperkukuh pilihan pasukan di bahagian hadapan.

Bagaimanapun, Gimenez berkata Kamara masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri selepas hanya beberapa hari menjalani latihan bersama pasukan.

NSFC akan menentang Sabah FC pada 5.00 petang esok dengan misi memburu kemenangan kedua dalam saingan Liga Super musim ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.