Malaysia pacu reka bentuk cip semikonduktor


Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir

KUALA LUMPUR, 16 Oktober – Malaysia meningkatkan keupayaan dalam reka bentuk cip semikonduktor dengan memanfaatkan akses kepada harta intelek (IP) Arm Ltd, berlandaskan pengalaman selama lima dekad dalam industri pembuatan semikonduktor.

RINGKASAN BERITA AI
  • Gabungan kepakaran pembuatan tempatan dan kerjasama antarabangsa membolehkan pembangunan seni bina cip dan reka bentuk IC.
  • Malaysia Semiconductor IC Design Park hasilkan enam cip buatan tempatan dalam dua tahun dengan potensi jualan kira-kira RM300 juta.
  • Hab persekutuan dan negeri mesti saling melengkapi untuk membentuk ekosistem semikonduktor nasional yang bersepadu.
  • Sasaran tenaga mahir 35 peratus di bawah RMK13 memerlukan peningkatan kemahiran dan skala syarikat supaya dapat menarik bakat.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, Malaysia menggabungkan kekuatan sedia ada dalam pembuatan semikonduktor hiliran dengan kerjasama antarabangsa bagi membangunkan seni bina cip.

“Pertama, kita perlu mengakui bahawa Malaysia sudah mempunyai kekuatan tertentu, khususnya dari segi bakat dan kepakaran. Sejak beberapa dekad lalu, kita telah membuktikan kepakaran dalam bidang pengujian, peralatan dan pembungkusan.

“Pada masa sama, berasaskan kekuatan itu, Malaysia telah memulakan kerjasama dengan Arm, contohnya, bagi mendapatkan akses kepada IP dan reka bentuk,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran Malaysia’s Next Generation of Semiconductor Innovations: Six Homegrown Chips sempena AiSEM@Selangor 2026, di sini.

Akmal Nasrullah berkata, gabungan kekuatan industri tempatan dan kerjasama antarabangsa membolehkan Malaysia Semiconductor IC Design Park menghasilkan enam inovasi cip dalam tempoh dua tahun, dengan anggaran potensi jualan keseluruhan RM300 juta.

Beliau berkata, hab semikonduktor Persekutuan dan negeri perlu saling melengkapi bagi membentuk ekosistem nasional yang bersepadu, memandangkan setiap negeri mempunyai kelebihan tersendiri dalam rantaian nilai industri berkenaan.

Dalam pada itu, Malaysia menyasarkan peningkatan tenaga kerja mahir kepada 35 peratus di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), berbanding kira-kira 31 peratus pada 2025.

Menurutnya, pembangunan sektor berpertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV) perlu disertai usaha meningkatkan kemahiran tenaga kerja bagi memenuhi keperluan industri.

“Industri yang berteraskan HGHV, menjadi tumpuan kerajaan sama ada dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) kita mahupun pelaksanaan yang sedang berlaku pada hari ini.

Jadi, sudah pasti cabarannya selain membuka industri berkenaan, kita kena lihat untuk scaling up syarikat-syarikat ini supaya mereka lebih berupaya menarik ataupun mendapatkan tenaga mahir untuk keperluan pelaburan mereka,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.