
PUTRAJAYA, 16 Oktober – Proses reformasi Perlembagaan membabitkan cadangan tempoh jawatan Perdana Menteri serta memisahkan jawatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya akan diteruskan menerusi libat urus dan perbincangan lanjut.
- Perdana Menteri memaklumkan Jemaah Menteri mengenai hasil sembah maklumnya kepada Majlis Raja-Raja tentang kedua cadangan pindaan.
- Sebarang pindaan atau penambahbaikan perlu dimaklumkan semula kepada Majlis Raja-Raja.
- Kedua-dua cadangan merupakan usaha reformasi besar dan masih memerlukan proses lanjutan.
- Perdana Menteri arahkan Azalina adakan libat urus dengan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang menyediakan draf.
Menteri Komunikasi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memaklumkan kepada Jemaah Menteri mengenai hasil sembah maklum beliau kepada Majlis Raja-Raja berhubung kedua-dua cadangan pindaan Perlembagaan itu.
“Sebarang pindaan atau penambahbaikan selepas ini perlu dimaklumkan semula kepada Majlis Raja-Raja, seperti yang disampaikan oleh Perdana Menteri tadi. Kedua-duanya merupakan usaha reformasi yang besar dan masih terdapat beberapa proses yang perlu diteruskan,” katanya pada sidang media mingguan pasca mesyuarat Jemaah Menteri, di sini.
Mengenai cadangan pemisahan jawatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, Datuk Seri Fahmi berkata, Perdana Menteri telah mengarahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said untuk mengadakan libat urus dan perbincangan dengan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang menyediakan draf pindaan berkenaan.