
SHAH ALAM, 11 Jun –Pelbagai tindakan penguatkuasaan telah dilaksana sejak tahun 2016 terhadap binaan haram di kawasan penempatan komuniti etnik Rohingya di Kampung Baru Sungai Makau, Hulu Langat, Selangor.
- Pelbagai tindakan penguatkuasaan dilaksanakan, termasuk perobohan, notis amaran, kompaun, operasi bersepadu dan siasatan.
- Beberapa agensi kerajaan terlibat, termasuk Pejabat Daerah dan Tanah, Majlis Perbandaran Kajang, LUAS, PDRM dan Jabatan Imigresen.
- Kerajaan negeri akan terus memantau keadaan dan mengambil tindakan mengikut undang-undang; orang ramai diminta rujuk kenyataan rasmi.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan, ini termasuk perobohan, pengeluaran notis amaran, kompaun, operasi bersepadu dan siasatan.
“Tindakan penguatkuasaan itu dijalankan beberapa agensi kerajaan berkaitan termasuk Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hulu Langat, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM),” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Tegasnya lagi, kerajaan negeri akan terus memantau keadaan semasa dan mengambil tindakan sewajarnya berlandaskan undang-undang.
Dalam hantaran sama, Datuk Seri Amirudin menasihatkan orang ramai supaya merujuk fakta dan kenyataan rasmi pihak berkuasa berhubung perkara itu.
“Jangan terpengaruh dengan maklumat yang tidak tepat atau mengelirukan di media sosial,” katanya.