
BENTONG, 10 Jun– Pemandu lori treler yang terlibat kemalangan di Kilometer 0.5 Jalan Bentong-Karak, berhampiran simpang Bentong Avenue, didapati positif dadah jenis methamphetamine.
- Lori membawa muatan cip plastik, terbabas pada pukul 8.10 pagi semasa menuju ke Kuala Lumpur.
- Kenderaan dipercayai hilang kawalan ketika melalui laluan susur berselekoh lalu terbabas ke kanan dan terbalik.
- Pemandu tidak mengalami kecederaan; kes disiasat bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, hasil ujian saringan air kencing terhadap lelaki tempatan berusia 37 tahun itu mengesahkan pengambilan bahan terlarang berkenaan.
Menurut Superintendan Zaiham, nahas berlaku pada pukul 8.10 pagi ketika lori membawa muatan cip plastik itu dari arah Bentong Makmur menuju ke Kuala Lumpur.
“Siasatan awal mendapati kenderaan itu dipercayai hilang kawalan ketika melalui laluan susur berselekoh sebelum terbabas ke kanan jalan dan terbalik.
Bagaimanapun, pemandu tidak mengalami kecederaan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Kes disiasat bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.