JPJ keluarkan 2,393 saman ke atas 1,123 kenderaan dalam Operasi 1 Johor

JPJ memeriksa 8,942 kenderaan menerusi Operasi 1 Johor yang dilaksanakan hari ini/ RTM

JOHOR BAHRU, 10 Jun – Sebanyak 2,393 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor, menerusi Operasi 1 Johor di seluruh negeri hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • 8,942 kenderaan diperiksa; 1,123 kenderaan dikenakan tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
  • Kesalahan utama: tiada Lesen Memandu Kompeten 572 kes, LKM tamat tempoh 523 kes, insurans tamat tempoh 506 kes.
  • Operasi menyita 24 motosikal, dua kereta, dua van, tiga lori; 83 kenderaan mewah turut disita menerusi Ops Luxury.

Pengarahnya Zulkarnain Yasin, berkata sebanyak 8,942 kenderaan diperiksa menerusi operasi tersebut, dan daripada jumlah itu sebanyak 1,123 kenderaan sudah diambil tindakan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Statistik menunjukkan kesalahan paling tinggi dikesan adalah melibatkan tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) sebanyak 572 kes, diikuti Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh sebanyak 523 kes dan insurans tamat tempoh sebanyak 506 kes.

“Bagi kesalahan teknikal pula, kesalahan nombor pendaftaran kenderaan tidak mengikuti spesifikasi mencatatkan jumlah tertinggi dengan 357 kes diikuti kesalahan lain sebanyak 418 kes dan tayar tidak mengikuti spesifikasi 35 kes.

“Dalam operasi bersepadu di seluruh negeri bermula 4 petang hingga 7 malam tadi, kita turut menyita 24 buah motosikal, dua buah kereta, dua buah van dan tiga buah lori.

“Untuk makluman, JPJ tidak menyasarkan saman tapi kita menyasarkan jumlah kenderaan diperiksa. Jadi, lagi banyak jumlah kenderaan diperiksa lagi banyak kesedaran yang kita dapat daripada pengguna jalan raya,” katanya pada sidang media selepas operasi berkenaan, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain beliau memaklumkan, sebanyak 83 kenderaan mewah disita JPJ Johor menerusi Ops Luxury sejak awal tahun hingga kini.

Kesemua kenderaan tersebut disita selepas didapati melakukan kesalahan tidak mempunyai cukai jalan dan perlindungan insurans.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.