
PUTRAJAYA, 23 Jun – Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden kemalangan maut melibatkan pekerja penyelenggaraan di Kolam Menara Saujana 1, Kuala Selangor pada 16 Jun lepas.
- SPAN menjalankan siasatan lanjut berhubung kemalangan maut di Kolam Menara Saujana 1; kemungkinan pelanggaran prosedur keselamatan ruang terkurung.
- Tindakan undang-undang akan diambil terhadap pihak yang gagal patuhi SOP, termasuk operator Air Selangor atau kontraktor berkenaan.
- JKKP keluarkan Notis Larangan dan sedang jalankan siasatan terperinci untuk menentukan punca sebenar serta kepatuhan SOP kerja berisiko tinggi.
- SPAN tegaskan kontraktor mempunyai permit sah; akan memperketat kawalan ruang terkurung, pemantauan kontraktor dan pengurusan risiko tapak.
SPAN dalam kenyataan hari ini memaklumkan tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati gagal mematuhi prosedur keselamatan, termasuk operator perkhidmatan air, Air Selangor, atau kontraktor pemegang permit SPAN yang terlibat dalam kerja penyelenggaraan berkenaan.
Menurut suruhanjaya itu, hasil semakan awal mendapati terdapat kemungkinan berlaku ketidakpatuhan terhadap prosedur keselamatan kerja di ruang terkurung (confined space), termasuk kemasukan pekerja tanpa kebenaran dan sebelum pengesahan keselamatan diberikan.
“Bagaimanapun, penemuan berhubung punca sebenar kejadian masih tertakluk kepada hasil siasatan rasmi dan laporan akhir yang akan dikeluarkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP),” menurut kenyataan itu.
SPAN turut menegaskan tindakan penguatkuasaan akan diambil sekiranya siasatan mendapati berlaku pelanggaran Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) serta perundangan subsidiari berkaitan.
Suruhanjaya itu memaklumkan kontraktor yang melaksanakan kerja pencucian dan penyelenggaraan kolam berkenaan mempunyai permit yang sah dan berdaftar dengan SPAN.
SPAN menerima makluman mengenai kejadian itu pada 17 Jun sebelum menjalankan lawatan tapak sehari kemudian bersama pihak berkaitan bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung insiden berkenaan.
Berdasarkan maklumat awal, kerja pencucian kolam secara berjadual pada 16 Jun telah dilaksanakan oleh vendor yang dilantik, Myda Risk & Safety Sdn Bhd.
“Semasa kejadian, paras air di dalam kolam dilaporkan berada pada paras pinggang. Dua orang pekerja mengalami kesulitan berhampiran kawasan scour point berdiameter 200 mm.
“Seorang daripada mereka berjaya diselamatkan, manakala seorang lagi dilaporkan tersangkut di kawasan tersebut,” menurut kenyataan itu.
Mangsa diberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR), namun disahkan meninggal dunia sebelum dibawa ke Hospital UiTM untuk bedah siasat. Punca kematian awal dilaporkan sebagai lemas.
JKKP telah mengeluarkan Notis Larangan selepas melakukan pemeriksaan di lokasi pada 17 Jun dan kini menjalankan siasatan terperinci bagi memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) berkaitan kerja berisiko tinggi dipatuhi.
SPAN berkata aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan akan terus diberi perhatian, termasuk memperketat kawalan kerja di ruang terkurung, pemantauan kontraktor serta pengurusan risiko di tapak bagi mengelakkan kejadian sama berulang pada masa depan.
“JKKP memaklumkan bahawa laporan penuh akan dikeluarkan setelah siasatan rasmi selesai dijalankan. Keselamatan dan kesihatan pekerjaan kekal sebagai keutamaan utama dalam semua pelaksanaan kerja penyelenggaran agar ia tidak berulang lagi pada masa akan datang.
“Selain itu, langkah-langkah penambahbaikan akan terus diberi perhatian bagi memastikan pematuhan kepada prosedur keselamatan, kawalan kerja di ruang terkurung, pengawasan kontraktor serta pengurusan risiko di tapak kerja dilaksanakan dengan lebih ketat dan berkesan,” menurut SPAN.
Selasa lalu, media melaporkan mangsa yang maut dalam insiden tersebut merupakan seorang pelajar latihan industri dari Universiti Putra Malaysia (UPM) yang sedang menjalankan kerja penyelenggaraan di kolam berkenaan.
Sementara pihak polis pada Ahad mengesahkan kematian pelajar tersebut adalah akibat lemas.