
IPOH, 22 Jun – Seorang pelajar berusia 13 tahun dilapor kritikal selepas dipercayai terjatuh dari bangunan di sebuah sekolah menengah di sini, petang tadi.
- Polis menerima maklumat dan menghantar anggota serta pasukan perubatan ke lokasi.
- Mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk rawatan lanjut; siasatan dijalankan bagi mengenal pasti punca.
- Polis mengumpul keterangan dan meneliti semua aspek; nasihatkan orang ramai elak spekulasi serta hormati privasi mangsa, keluarga dan sekolah.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin mengesahkan pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian kira-kira pukul 2.49 petang sebelum anggota polis dan pasukan perubatan ke lokasi.
“Mangsa telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk menerima rawatan lanjut dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca insiden.
“Setakat ini, polis masih mengumpul keterangan daripada saksi-saksi serta meneliti semua aspek yang berkaitan,”katanya menerusi kenyataan.
Justeru, orang ramai dinasihat tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berhubung kejadian itu.
Polis turut memohon agar privasi mangsa, keluarga serta pihak sekolah dihormati sepanjang tempoh siasatan.