Gwen Mia ditemukan selamat selepas 33 jam hilang

Sebelum ini, Gwen Mia hilang selepas dipercayai tidak berada di kawasan sekolah sebaik tamat sesi persekolaha

KOTA KINABALU, 28 Julai – Seorang kanak-kanak perempuan yang dilaporkan hilang sebelum ini ditemui dalam keadaan selamat di hadapan rumah di Lorong Seri Pelangi, Inanam, kira-kira pukul 3 petang tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mangsa dikenal pasti sebagai Gwynne Mia Erbin, 13 tahun, ditemui bersendirian dalam keadaan sihat tanpa sebarang kecederaan.
  • Keterangan awal: mangsa menyatakan beliau mengikut seorang rakannya.
  • Ibu membawa mangsa ke IPD Kota Kinabalu untuk laporan susulan dan tindakan lanjut.
  • Polis nasihatkan orang ramai tidak membuat spekulasi, rujuk maklumat kepada PDRM dan polis menghargai kerjasama orang ramai.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, mangsa, Gwynne Mia Erbin, 13 tahun ditemui bersendirian dalam keadaan sihat serta tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata, hasil keterangan awal mendapati mangsa memaklumkan bahawa beliau telah mengikut seorang rakannya.

“Mangsa kemudiannya dibawa oleh ibunya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bagi membuat laporan susulan dan tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sebelum ini, Gwen Mia hilang selepas dipercayai tidak berada di kawasan sekolah sebaik tamat sesi persekolahan di Sekolah Menengah Lok Yuk Likas, Sabah, semalam.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berhubung kejadian berkenaan sehingga siasatan selesai dijalankan.

Katanya, sebarang maklumat berkaitan kes hendaklah dirujuk kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui saluran rasmi.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada orang ramai yang memberikan kerjasama, menyalurkan maklumat serta membantu menyebarkan hebahan kehilangan mangsa sehingga berjaya ditemui.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.