
KOTA KINABALU, 28 Julai – Polis menemukan mayat seorang bayi yang dipercayai tidak cukup sifat di kawasan Kampung Goliga Kolopis, Penampang kira-kira pukul 11.52 pagi tadi.
- Siasatan awal mendapati mayat bayi ditemukan berhampiran rumah pengadu.
- Pegawai dan anggota IPD Penampang digerakkan ke lokasi selepas laporan diterima.
- Pasukan Forensik JSJ Kontinjen Sabah dan Unit K-9 PDRM digerakkan membantu siasatan.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 318; orang ramai diminta hubungi Inspektor Mohamad Anis Abdullah 013-6365734.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang digerakkan ke lokasi sebaik menerima laporan berhubung penemuan itu.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati mayat bayi berkenaan ditemukan di kawasan berhampiran rumah pengadu.
Katanya, Pasukan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sabah bersama Unit K-9 Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut digerakkan ke lokasi bagi membantu siasatan dan pemeriksaan tempat kejadian.
“Mayat bayi itu kemudian dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu untuk bedah siasat dan tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sammy berkata, polis kini sedang mengesan individu yang bertanggungjawab serta menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan jalan membuang mayat secara sulit, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Beliau turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Anis Abdullah di talian 013-6365734 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.