
TAWAU, 28 Julai – Polis menahan sepasang suami isteri warga asing selepas disyaki mendera bayi perempuan mereka yang berusia dua bulan di Batu 8, Jalan Apas, di sini.
- Doktor Unit Kecemasan Hospital Tawau buat laporan polis selepas mengesan kecederaan mencurigakan pada bayi semasa mendapatkan rawatan.
- Pemeriksaan temui lebam dahi kiri, kesan gigitan pipi kanan, bengkak belakang kepala; ibu bapa dakwa terjatuh, nenek kata kecederaan oleh ibu bapa.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, kes itu terbongkar selepas seorang doktor di Jabatan Kecemasan Hospital Tawau membuat laporan polis apabila mengesan kecederaan mencurigakan pada bayi berkenaan yang dibawa mendapatkan rawatan semalam.
Beliau berkata, bayi itu dibawa ke hospital oleh ibu bapanya bersama nenek mangsa.
Katanya, pasangan terbabit pada awalnya mendakwa bayi berkenaan terjatuh.
“Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut mendapati mangsa mengalami kesan lebam di dahi kiri, kesan gigitan pada pipi kanan serta bengkak di bahagian belakang kepala.
“Nenek mangsa kemudian memaklumkan kepada doktor bahawa kecederaan itu dipercayai berpunca daripada perbuatan ibu bapa bayi berkenaan sebelum laporan polis dibuat,” katanya ketika dihubungi RTM hari ini.
Susulan laporan itu, seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 30-an dan seorang wanita warga asing berusia 18 tahun di pekarangan Hospital Tawau pada kira-kira pukul 11.45 malam bagi membantu siasatan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana disyaki melakukan penganiayaan atau penderaan terhadap kanak-kanak, selain Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.