
HYDERABAD, 28 Julai – Hujan lebat monsun mengganggu jadual penerbangan serta menyebabkan kesesakan lalu lintas di jalan raya yang dinaiki air di sekitar Delhi pada Selasa.
- Rakaman menunjukkan banjir kilat memasuki kedai di Jalan Janpath berhampiran kawasan beli-belah Connaught Place.
- Orang ramai dilihat meredah air berlumpur di luar beberapa stesen metro.
- Tanah runtuh dilaporkan di Himachal dan jabatan meteorologi keluarkan amaran banjir kilat termasuk Shimla.
- Monsun memusnahkan Assam dan Gujarat, memaksa ratusan ribu berpindah, banyak kilang henti operasi termasuk Tata dan 3M, hampir 70 maut.
Beberapa kawasan sibuk di ibu negara India itu dilaporkan dilanda banjir kilat, dengan satu rakaman video portal berita dalam talian menunjukkan air hujan memasuki kedai-kedai di pasar Jalan Janpath berhampiran kawasan beli-belah Connaught Place.
Orang ramai turut dilihat meredah air berlumpur di luar beberapa stesen metro.
Syarikat penerbangan IndiGo dan Akasa Air dalam kenyataan berasingan memaklumkan beberapa penerbangan ke dan dari Delhi terjejas akibat cuaca buruk.
Hujan lebat turut melanda negeri berjiran, Punjab dan Haryana.
Tanah runtuh dilaporkan berlaku di Himachal Pradesh, manakala jabatan meteorologi mengeluarkan amaran banjir kilat bagi beberapa daerah termasuk ibu negeri, Shimla.
Pentadbiran negeri Uttarakhand pula menggantung ibadah ziarah Char Dham pada Selasa dan Rabu susulan amaran hujan lebat.
Hujan monsun turut menyebabkan kemusnahan di negeri Assam dan Gujarat, mengakibatkan ratusan ribu penduduk kehilangan tempat tinggal serta memaksa banyak syarikat menghentikan operasi buat sementara waktu.
Hujan lebat juga mengganggu pengeluaran di kilang Tata Motors di Sanand, Gujarat.
“Sejak beberapa hari lalu, usaha bersepadu sedang giat dijalankan untuk memulihkan operasi pengeluaran di premis pembekal dan kilang syarikat sebagai keutamaan. Kami yakin keadaan akan kembali pulih seperti biasa dalam beberapa hari akan datang,” menurut Tata Motors Passenger Vehicles Limited dalam kenyataan kepada bursa saham pada Isnin.
Kumpulan perindustrian 3M India Limited minggu lalu turut memaklumkan kepada bursa saham bahawa pihaknya menggantung sementara operasi pembuatan di kilangnya di Ahmedabad berikutan banjir di kawasan berkenaan.
Banjir di Assam menyebabkan kerugian besar kepada sektor pertanian dan memaksa ratusan ribu penduduk berpindah, manakala jumlah kematian akibat hujan di negeri di timur laut India yang bersempadan dengan Bangladesh itu dilaporkan menghampiri 70 orang. – BERNAMA