Gempa bumi: Ramai mangsa dikhuatiri masih terperangkap dalam bangunan

Ramai mangsa yang dikhuatiri masih terperangkap dalam bangunan Aeon Mall/Foto REUTERS 

TOKYO, 28 Julai – Ramai mangsa dikhuatiri masih terperangkap dalam sebuah pusat beli-belah yang mengalami kerosakan teruk akibat gempa bumi kuat yang melanda barat daya Jepun pada Selasa, ketika operasi mencari dan menyelamat giat dijalankan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Gempa menyebabkan bangunan runtuh, kebakaran di beberapa lokasi dan lebih 100 orang dilaporkan cedera.
  • Tingkat dua Aeon Mall di Kashima runtuh; polis belum mengesahkan kematian; 20 hingga 30 pekerja masih gagal dihubungi.
  • JMA merekod magnitud 7.1 dengan intensiti maksimum tujuh; gegaran susulan termasuk magnitud 6.1; perkhidmatan pengangkutan terganggu.

Bencana itu turut menyebabkan bangunan runtuh, kebakaran di beberapa lokasi dan lebih 100 orang dilaporkan cedera.

Penyiar swasta TBS melaporkan sejumlah besar mangsa dikhuatiri maut di dalam pusat beli-belah di bandar Kashima selepas pihak bomba memaklumkan tingkat dua bangunan itu runtuh akibat gempa bermagnitud 7.1.

Bagaimanapun, polis memberitahu AFP bahawa pihaknya masih belum dapat mengesahkan sebarang kematian di lokasi berkenaan.

Penyiar awam NHK yang memetik sumber polis melaporkan antara 20 hingga 30 pekerja masih gagal dihubungi.

Rakaman televisyen menunjukkan beberapa kenderaan kecemasan dengan lampu amaran berkelip berada di luar pusat beli-belah itu.

Sementara itu, agensi berita Kyodo melaporkan empat mangsa telah dibawa ke hospital dan kesemuanya berada dalam keadaan sedar.

Dalam perkembangan lain, NHK melaporkan beberapa individu turut dipercayai masih hilang di sebuah kilang Japan Paper Industries selepas bahagian atas cerobong kilang itu runtuh akibat gempa.

Kyodo turut melaporkan seorang maut selepas sebuah rumah runtuh dalam kejadian berasingan.

Antara kediaman yang musnah dijilat api akibat gempa bumi di wilayah Kumamoto, Pulau Kyushu/Foto REUTERS 

Rakaman yang disiarkan NHK sebelum ini menunjukkan beberapa kebakaran, jambatan rosak, sebuah kereta api kargo tergelincir daripada landasan serta beberapa rumah berada dalam keadaan hampir tumbang di wilayah Kumamoto, Pulau Kyushu.

Seorang ejen pengambilan pekerja, Chiharu Hara, 35, yang berada di Kumamoto ketika kejadian, berkata beliau berasa begitu takut apabila gempa melanda.

“Pejabat bergoyang dengan sangat kuat dari sisi ke sisi. Saya takut bangunan itu akan runtuh. Semua orang panik,” katanya.

Menurut Agensi Meteorologi Jepun (JMA), gempa yang berlaku pada pukul 4.27 petang waktu tempatan berukuran magnitud 7.1, namun gegarannya mencapai tahap tujuh iaitu paras tertinggi pada Skala Intensiti Seismik Shindo.

Beberapa gegaran susulan turut direkodkan termasuk satu gempa bermagnitud 6.1 pada 5.08 petang.

Sementara itu, Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) merekodkan magnitud gempa berkenaan pada 6.8. Jepun merekodkan ratusan kejadian gempa bumi setiap tahun, namun kebanyakannya tidak mengakibatkan kerosakan besar.

Akibat bencana itu, banyak jalan raya ditutup, manakala perkhidmatan tren laju Shinkansen di kawasan terjejas digantung.

Lapangan Terbang Kumamoto turut ditutup sementara sebelum dibuka semula pada malam Selasa.

NHK turut melaporkan dua hospital masing-masing menerima sekurang-kurangnya 50 mangsa yang cedera.

“Pesakit yang tiba mengalami kecederaan melecur dan patah tulang selepas dihempap objek akibat gempa bumi,” kata seorang kakitangan hospital yang dipetik NHK.

Beliau berkata, hospital itu turut berdepan masalah kebocoran air serta gangguan pada sistem bekalan elektrik.

Dalam pada itu, NHK melaporkan kira-kira 10 penghuni sebuah rumah jagaan warga emas turut cedera akibat gempa berkenaan. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.