Pelaburan RM815 bilion dalam dua tahun, hampir separuh KDNK Malaysia

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour menyampaikan ucaptama pada Simposium Sasana 2026 – Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 28 Julai – Malaysia meluluskan pelaburan berjumlah RM815 bilion sepanjang dua tahun lalu, hampir menyamai separuh daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahunan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaburan dijangka mewujudkan hampir 245,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
  • Mewujudkan pekerjaan sahaja tidak mencukupi; tenaga kerja tempatan perlu memiliki kemahiran sesuai untuk mengisi peluang tersebut.
  • Peratus pekerjaan berkemahiran tinggi meningkat daripada 27.5% pada 2019 kepada 30.1% pada 2025, menunjukkan perkembangan positif.
  • BNM melancarkan iTEKAD Employment untuk membantu golongan rentan mendapatkan pekerjaan dan pendapatan lebih stabil.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, pelaburan berkenaan berpotensi mewujudkan hampir 245,000 peluang pekerjaan yang melibatkan bidang berkemahiran tinggi.

Bagaimanapun, beliau menegaskan usaha mewujudkan pekerjaan sahaja tidak mencukupi kerana tenaga kerja tempatan perlu memiliki kemahiran yang bersesuaian untuk mengisi peluang tersebut.

“Selama bertahun-tahun, tenaga kerja berkos dan berkemahiran rendah menyokong daya saing negara. Namun, ekonomi berasaskan produktiviti memerlukan persaingan melalui inovasi, teknologi dan keupayaan”

“Malaysia perlu mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi dalam industri masa depan bagi meningkatkan pendapatan rakyat dan memacu pertumbuhan ekonomi.”

Beliau berkata demikian dalam ucaptama Simposium Sasana 2026 di Sasana Kijang, di Kuala Lumpur.

Menurut Datuk Seri Abdul Rasheed, ketika ini lebih dua pertiga rakyat Malaysia masih bekerja dalam sektor berkemahiran rendah dan sederhana.

Namun terdapat perkembangan positif apabila kadar pekerjaan berkemahiran tinggi meningkat daripada 27.5 peratus pada 2019 kepada 30.1 peratus pada 2025.

Beliau berkata perubahan struktur pasaran buruh memerlukan masa, manakala perkembangan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) menuntut pekerja untuk memperbaharu kemahiran sepanjang kerjaya mereka.

Pada majlis sama, BNM turut melancarkan iTEKAD Employment, program terbaharu bawah inisiatif kewangan sosial iTEKAD bertujuan membantu golongan rentan mendapatkan pekerjaan serta menjana pendapatan yang lebih stabil.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.