
SEREMBAN, 28 Julai – Rakyat tempatan perlu diberi keutamaan untuk mengisi peluang pekerjaan di negara ini sebelum sebarang kekosongan ditawarkan kepada pekerja asing.
- Kementerian akan mempermudah proses permohonan penggajian pekerja asing, khususnya bagi sektor perkhidmatan.
- Arahan dikeluarkan agar jabatan mengurangkan birokrasi dan kelewatan dalam urusan permohonan.
- Proses dijangka selesai lebih awal daripada tempoh sebulan bergantung kepada tapisan keselamatan dan syarat berkaitan.
- Kerajaan kekalkan had pekerja asing 15 peratus di bawah RMK12; sasaran dikurangkan kepada 10 peratus menjelang 2030 melalui RMK13.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan menegaskan, perkara itu selaras dengan matlamat kementerian bagi memastikan peluang pekerjaan dibuka kepada rakyat Malaysia terlebih dahulu.
“Rakyat Malaysia diberikan keutamaan dulu. Contohnya kalau tidak ada pengambilan (pekerja tempatan), boleh boleh buka untuk warga asing. Tetapi keutamaan adalah kepada warga Malaysia dulu.
“Rakyat Malaysia tidak berminat atau kurang berminat, baru boleh uar-uarkan kepada warga asing. Tetapi, majikan kena iktu undang-undang dan peraturan negara ini, ” tambahnya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan rasmi Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (PPSMI) Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Senawang, di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri Ramanan memaklumkan, kementeriannya akan mempermudah proses permohonan penggajian pekerja asing, khususnya bagi sektor perkhidmatan selaras arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pihaknya telah memberi arahan kepada jabatan berkaitan bawah kementerian itu agar tidak berlaku birokrasi atau kelewatan dalam proses permohonan berkenaan.
Beliau yakin proses berkenaan mampu diselesaikan lebih awal daripada tempoh sebulan yang ditetapkan kerajaan, bergantung kepada urusan tapisan keselamatan dan syarat-syarat berkaitan.
Kerajaan sebelum ini menetapkan penggajian pekerja asing tidak melebihi 15 peratus daripada keseluruhan guna tenaga negara bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).
Sasaran itu dikurangkan kepada 10 peratus menjelang tahun 2030 menerusi RMK13.