
SEREMBAN, 28 Julai – Kira-kira 700,000 penduduk bakal menikmati kemudahan Hospital Bandar Enstek yang dijangka beroperasi pada 2032.
- Hospital akan memberi manfaat kepada penduduk Nilai, Labu, Seremban 2, Sendayan dan kawasan sekitar.
- Kerja pembinaan dijangka bermula seawal 2028 selepas proses perolehan dan penukaran tanah seluas 50 hektar diselesaikan.
- Kapasiti hospital akan ditingkatkan secara berfasa hingga maksimum 500 katil, seterusnya mengurangkan tekanan ke atas Hospital Tuanku Ja'afar.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata Hospital itu akan memberi manfaat kepada penduduk di Nilai, Labu, Seremban 2, Sendayan serta kawasan sekitar.
Sekali gus, mengurangkan tekanan melampau ke atas Hospital Tuanku Ja’afar sebagai hospital rujukan utama di Negeri Sembilan.
Beliau memaklumkan, kerja pembinaan fizikal atau struktur dijangka dapat dimulakan seawal 2028 selepas proses perolehan tanah selesai.
“Susulan lawatan teknikal dibuat…Lot 34546 Bandar Enstek yang merupakan tanah Persekutuan yang ketika ini bawah kegunaan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah dipilih sebagai tapak hospital baru.
“Selepas proses tukar ganti tanah seluas 50 hektar yang kita pohon dimuktamadkan.. KKM akan menguruskan penyediaan skop projek, reka bentuk kerja awalan dan proses kelulusan sebelum pembinaan dimulakan.
“Pendekatan ini mengoptimumkan penggunaan aset sedia ada kerajaan Persekutuan, sekali gus mempercepatkan penyediaan tapak dan menjimatkan kos perolehan tanah, ” katanya.
Datuk Seri Dr Dzulkefly berkata, kapasiti hospital itu apabila siap kelak akan dipertingkatkan secara berfasa hingga mencecah maksimum 500 katil.
Menurutnya, projek itu adalah hasil usaha berterusan kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan KKM sejak 2024.