“Seperti mimpi jadi kenyataan” – Muhammad Hafizuddin

Muhammad Hafizuddin meraikan kejayaan merangkul emas keempat negara. Foto/bernama

GLASGOW, 28 Julai – Kejayaan tiga atlet senior memenangi pingat emas membakar semangat atlet angkat berat negara Muhammad Hafizuddin Roslin untuk melakar nama pada Sukan Komanwel Glasgow 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menjuarai kategori 88 kg pada penampilan pertama dengan keseluruhan angkatan 345 kg, mengesahkan gelaran juara.
  • Melakukan snatch 162 kg dan clean and jerk 183 kg; clean and jerk dan jumlah keseluruhan rekod baharu temasya.
  • Kata-katanya penuh kegembiraan: "seperti mimpi jadi kenyataan", selepas perak di Ahmedabad menjadikan emas sebagai sasaran.
  • Angkat berat kini sumbang semua empat pingat emas Malaysia di Glasgow, menonjolkan kekuatan kontinjen negara.

Atlet berusia 22 tahun itu muncul juara kategori 88 kilogram (kg) lelaki pada penampilan pertamanya di temasya tersebut selepas mencatat keseluruhan angkatan 345kg di Scottish Event Campus Armadillo.

Juara Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 dalam kategori 81kg itu berkata kejayaan Mohamad Aniq Kasdan, Muhammad Aznil Bidin dan Muhammad Erry Hidayat melonjakkan semangatnya untuk membuktikan dia juga mampu menyumbang emas kepada kontinjen negara.

“Perasaan saya mestilah sangat gembira, seperti mimpi jadi kenyataan.

“Apabila saya melihat tiga senior saya berjaya mendapatkan pingat emas, saya berasa sangat bermotivasi untuk bersama mereka, berjuang bersama mereka, berada di barisan hadapan membawa nama negara dan memenangi pingat emas,” katanya.

Pada aksi tersebut, atlet kelahiran Perlis tersebut melakukan angkatan 162kg dalam acara snatch dan 183kg bagi clean and jerk untuk mengesahkan kejuaraan, sekali gus menghadiahkan emas keempat buat kontinjen negara.

Catatan clean and jerk dan jumlah keseluruhannya turut menjadi rekod baharu temasya.

Wakil New Zealand Cameron David McTaggart meraih perak dengan keseluruhan angkatan 338kg, sementara atlet tuan rumah Angus Doig memenangi gangsa selepas mencatat 309kg.

Sementara itu, Muhammad Hafizuddin berkata impian untuk bergelar juara Sukan Komanwel mula menjadi sasarannya selepas sekadar meraih pingat perak pada kejohanan di Ahmedabad, India tahun lepas.

“Pada Kejohanan Komanwel itu saya dapat perak tapi dekat sangat nak dapat emas, saya cuma tersilap dari segi angkatan dan teknik. Jadi, daripada situ saya rasa saya boleh menang emas (di Sukan Komanwel),” jelasnya.

Acara angkat berat kini menyumbang kesemua empat pingat emas Malaysia di Glasgow, selain satu pingat gangsa menerusi Irene Jane Henry dalam kategori wanita 48kg.

Sebelum ini, Mohamad Aniq muncul juara acara 60kg lelaki, diikuti Muhamad Aznil (65kg lelaki) dan Muhammad Erry bagi 79kg lelaki, dengan ketiga-tiganya turut mencipta rekod baharu temasya. – Bernama

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.