Syarikat farmaseutikal China sasar sijil halal Malaysia

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 2 November – Syarikat farmaseutikal dari China berhasrat untuk mendapatkan pengiktirafan pensijilan halal secara langsung di Malaysia bagi produk kesihatan keluaran mereka sebelum dipasarkan ke pasaran halal global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Reputasi kukuh pensijilan halal JAKIM selama lima dekad menjadi faktor tarikan pelabur.
  • Produk pelabur telah mendapat kelulusan FDA namun masih belum memiliki pensijilan halal.
  • Hasrat dan isu itu dibincangkan bersama 58 ahli perniagaan China dalam mesyuarat kerjasama Malaysia dan China.
  • Pelabur berminat sektor ekonomi digital, pusat data, pengkomputeran awan dan kecerdasan buatan; disaran gunakan pusat data sedia ada atau bekerjasama.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keyakinan pelabur China itu didorong reputasi kukuh pensijilan halal keluaran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang telah dikenali di peringkat antarabangsa selama lima dekad.

“Selain mendapatkan pensijilan halal, mereka turut tertarik dengan persekitaran dan iklim pelaburan di Malaysia yang lebih kondusif, sekali gus memudahkan mereka menembusi pasaran antarabangsa.”

“Produk keluaran mereka sebenarnya telah mendapat kelulusan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA), namun masih belum mempunyai pensijilan halal.

Oleh itu, mereka melihat pelaburan di Malaysia sebagai pilihan lebih baik, termasuk mendapatkan pensijilan halal di negara ini dengan bantuan JAKIM.” katanya.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid ditemui pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Kerjasama Malaysia – China Dalam Pelaburan, Perdagangan & Pemerkasaan Ekonomi di sini.

Tambah beliau, hasrat berkenaan dinyatakan semasa perbincangan beliau bersama dengan 58 ahli perniagaan dari China menerusi Mesyuarat Kerjasama Malaysia-China dalam Pelaburan, Perdagangan dan Pemerkasaan Ekonomi di ibu negara, hari ini.

Dalam mesyuarat sama juga, pelabur China turut menunjukkan minat untuk meneroka peluang dalam sektor ekonomi digital dan infrastruktur teknologi, khususnya pembangunan pusat data, pengkomputeran awan serta kecerdasan buatan (AI).

Bagaimanapun, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid menyarankan agar pelabur China memanfaatkan kemudahan pusat data sedia ada di Malaysia berbanding membangunkan pusat data baharu.

“Kita tidak begitu menggalakkan pembukaan, namun kalau mereka berhasrat, lebih baik kalau mereka bekerjasama dengan syarikat-syarikat yang sedia ada untuk mereka bekerjasama atau mengambil alih.” katanya

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.