
GEORGE TOWN, 2 November – Polis Pulau Pinang sedang menunggu laporan perubatan berhubung dakwaan seorang isteri kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri itu yang mendakwa dicederakan suaminya di kediaman mereka di sini, Sabtu lalu, sebelum mengambil tindakan lanjut.
- Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan akan mendapatkan pengesahan perubatan mengenai kecederaan yang didakwa.
- Polis menafikan dakwaan tidak mengambil tindakan dan menegaskan laporan telah diuruskan sebaik menerima maklumat.
- Dalam 14 operasi, polis tahan 141 individu dan rampas aset dianggarkan RM1.4 juta, dikaitkan dengan jenayah komersil pusat panggilan.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu dengan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
“Kita akan mendapatkan pengesahan daripada pakar perubatan berhubung kecederaan yang dialami kerana kita bukan doktor.
“Sekiranya individu berkenaan merupakan mangsa, kita akan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan keadilan kepada semua pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menafikan dakwaan isteri kepada ADUN berkenaan kononnya pihak polis tidak mengambil tindakan terhadap laporan yang dibuatnya.
Pihaknya telah mengambil tindakan sewajarnya sebaik menerima laporan berkenaan, selain akan mendapatkan pengesahan perubatan berhubung kecederaan yang didakwa dialami wanita itu.
Dalam sidang media sama, beliau turut memaklumkan bahawa seramai 141 individu ditahan atas pelbagai kesalahan komersil dalam 14 operasi berasingan di Pulau Pinang.
Datuk Dennis Lim Kwang berkata, pihaknya berjaya merampas pelbagai aset yang dianggarkan bernilai RM1.4 juta menerusi operasi yang dijalankan antara antara 9 hingga 29 Oktober lalu.
“Warga asing menggunakan negeri ini sebagai medan jenayah komersial, khusus dalam membuka pusat panggilan bagi menipu mangsa dalam talian.
“Secara keseluruhannya, seramai 141 individu ditahan, terdiri daripada 93 warga tempatan, 29 warga Vietnam, sembilan warga China, empat warga Jepun, tiga warga Taiwan, dua warga Kemboja dan seorang warga Myanmar,” katanya.