
KUALA LUMPUR, 2 November – Penganjuran Karnival Deepavali 2026 membuka peluang kepada lebih 400 usahawan menjana pendapatan menerusi pelbagai aktiviti perniagaan, sekali gus merancakkan ekonomi setempat.
- Edisi ke-24 membuktikan komitmen penganjur menyediakan platform perniagaan khususnya kepada usahawan masyarakat India.
- Penyertaan diperluas termasuk usahawan negara jiran, memudahkan orang ramai mendapatkan pelbagai barangan menjelang Deepavali.
- Sasaran kehadiran 300,000 pengunjung berpotensi dicapai walaupun cuaca buruk; karnival menyatukan pelbagai kaum dan diharap diteruskan setiap tahun.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, karnival yang memasuki edisi ke-24 itu membuktikan komitmen penganjur dalam menyediakan platform perniagaan khususnya kepada usahawan masyarakat India.
Turut diperluas, penyertaan usahawan dari negara jiran seterusnya memudahkan orang ramai mendapatkan pelbagai barangan keperluan menjelang Deepavali.
“Kita mewujudkan kelompok ekonomi khususnya kepada masyarakat India, dan pada masa sama memberikan kemudahan kepada mereka untuk membuat persiapan menyambut Deepavali,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di karnival tersebut di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil pada Isnin.
Datuk Seri Dr Shamsul Anuar berkata, sasaran kehadiran 300,000 pengunjung berpotensi dicapai, berdasarkan sambutan menggalakkan orang ramai meskipun karnival masih berbaki kira-kira lapan hari.
Beliau berkata, kehadiran pengunjung yang ramai meskipun berdepan keadaan cuaca kurang baik membuktikan sambutan positif terhadap penganjuran karnival berkenaan.
Dalam pada itu katanya, sambutan Deepavali turut menjadi platform menyatukan masyarakat berbilang kaum, selaras dengan keunikan kepelbagaian budaya di negara ini.
“Perayaan ini boleh dijadikan satu platform untuk merapatkan kita dan mempererat perpaduan antara pelbagai kaum,” katanya.
Beliau turut berharap karnival itu dapat diteruskan setiap tahun bagi memastikan manfaat ekonomi dan perpaduan yang dibawa dapat dikekalkan.