Masalah mendapan laluan feri Kuala Kedah perlu penyelesaian jangka panjang

Foto RTM

ALOR SETAR, 2 November – Masalah mendapan di laluan feri perairan Kuala Kedah memerlukan penyelesaian jangka panjang yang lebih mampan bagi memastikan kelancaran operasi perkhidmatan feri ke Langkawi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerja pengerukan dijalankan berkala setiap dua tahun untuk memastikan mendapan tidak menjejaskan kelancaran operasi feri.
  • Penyelesaian menyeluruh perlu dirangka kerana masalah mendapan terus menjadi kekangan operasi terminal.
  • Kos membawa keluar dan pelupusan mendapan ke laut terlalu tinggi, menjejaskan pilihan penambakan atau pemindahan terminal.
  • Operator feri digalakkan menambah frekuensi perkhidmatan, namun bergantung pada kos operasi, bilangan penumpang dan kekangan operasi.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kerja-kerja pengerukan dilaksanakan secara berkala iaitu setiap dua tahun bagi memastikan mendapan tidak menjejaskan kelancaran operasi di kawasan berkenaan.

Menurutnya, penyelesaian lebih menyeluruh perlu dirangka memandangkan masalah tersebut terus menjadi antara kekangan operasi di terminal berkenaan.

“Pertama, terdapat kekangan dari segi fizikal kerana kos untuk membawa keluar mendapan ke laut adalah terlalu tinggi, termasuk kos bagi kerja-kerja pengerukan dan pelupusan mendapan.

“Bagi penyelesaian jangka panjang, kita sedang meneliti pendekatan yang lebih mampan. Terminal penumpang yang sedang dibangunkan itu akan kekal di lokasi asalnya kerana sekiranya kita mahu melaksanakan kerja-kerja penambakan laut atau membangunkan kawasan baharu, kos yang perlu ditanggung adalah terlalu tinggi,” katanya.

Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Pemberian Bantuan Khas Kewangan kepada Pemandu Teksi, Kereta Sewa dan Bas Sekolah Negeri Kedah di sini.

Dalam perkembangan berkaitan, Anthony Loke turut menggalakkan operator feri sedia ada dan baharu menyediakan lebih banyak perkhidmatan bagi meningkatkan kekerapan perjalanan ke Langkawi.

Bagaimanapun beliau berkata penambahan perjalanan bergantung kepada kemampuan operator dengan mengambil kira faktor kos operasi, jumlah penumpang dan kekangan operasi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.