MATRADE bantu PMKS tembusi pasaran antarabangsa

Foto MATRADE

KUALA LUMPUR, 2 November – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) melancarkan MATRADE Academy, platform pembangunan kapasiti bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mengembangkan operasi ke pasaran antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • MATRADE Academy satukan latihan, pembelajaran digital dan bimbingan berstruktur bersama 40 rakan strategik untuk ekosistem pembelajaran eksport berterusan.
  • Program fokus tingkat kesiapsiagaan PMKS belum mengeksport dan bantu pengeksport sedia ada luaskan pasaran antarabangsa.
  • Guna ERAT dengan tiga tahap; tawar 16 modul latihan termasuk risikan pasaran, pembungkusan, pensijilan, logistik, pembiayaan dan perdagangan digital.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Indera Abu Bakar Yusof berkata, platform yang menyepadukan latihan, pembelajaran digital dan bimbingan berstruktur itu merupakan kerjasama antara MATRADE dengan 40 rakan strategik daripada sektor awam dan swasta.

Jelas beliau, program tersebut memberi tumpuan kepada PMKS yang belum mengeksport bagi meningkatkan kesiapsiagaan mereka menembusi pasaran antarabangsa selain membantu pengeksport sedia ada memperluas pasaran.

”MATRADE Academy mengintegrasikan program latihan pengeksport, MATRADE Digital Learning (MDL) dan Hari Eksport dalam satu ekosistem pembelajaran berterusan.

”Pendekatan ini menghubungkan latihan asas dengan pembangunan keupayaan lanjutan mengikut tahap kesiapsiagaan dan keperluan syarikat berpandukan Export Readiness Assessment Tool (ERAT), yang dibahagikan kepada tiga tahap iaitu Perintis, Pemacu dan Peneraju,” jelasnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, PMKS tempatan menyumbang 39.7 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2025.

Namun sumbangan PMKS kepada eksport hanya 14.7 peratus, sekali gus menunjukkan masih terdapat ruang untuk meningkatkan penyertaan mereka dalam perdagangan antarabangsa.

“Bagi menyokong pembangunan pengeksport, MATRADE Academy turut membangunkan 16 modul latihan antaranya kesiapsiagaan eksport, risikan pasaran, pembungkusan, pensijilan, logistik, pembiayaan dan perdagangan digital.

“Kejayaan program berkenaan perlu dinilai berdasarkan tindakan sebenar syarikat termasuk penyertaan pertama dalam pasaran eksport, peningkatan nilai eksport dan peluasan pasaran,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.