
SRI AMAN, 2 November – Seorang lelaki berusia 56 tahun maut selepas lori simen yang dipandunya terbalik ke dalam gaung di Jalan Pantu, di sini tengah hari tadi.
- Mangsa Ngaji Sarit ditemukan tersepit dalam lori, tidak sedarkan diri; petugas KKM mengesahkan kematian.
- Panggilan kecemasan diterima pada 12.38 tengah hari; pasukan BBP Sri Aman tiba di Balai Polis Pantu pada 1.50 petang.
- Akses lokasi sukar; operasi guna kenderaan pacuan empat roda ladang dan dua jengkaut untuk keluarkan mangsa sebelum diserahkan polis.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menerusi kenyataan memaklumkan, mangsa, Ngaji Sarit, ditemukan tersepit dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam lori berkenaan sebelum petugas Kementerian Kesihatan (KMM) mengesahkan kematiannya.
“Panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diteima pada pukul 12.38 tengah hari. Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman tiba di balai polis Pantu pada pukul 1.50 tengah hari.
“Kemudian perjalanan diteruskan ke lokasi kejadian menggunakan kenderaan pacuan empat roda milik pihak ladang kerana jentera bomba tidak dapat memasuki kawasan berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Operasi menyelamat dijalankan dengan bantuan dua jengkaut milik syarikat dan mangsa berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan menyelamat sebelum dibawa ke tempat selamat dengan pengusung.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.