DBKL peruntuk RM2.59 juta naik taraf PPR Seri Pantai

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 28 Julai – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperuntukkan sebanyak RM2.59 juta bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan naik taraf fasiliti di Program Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peruntukan bertujuan memastikan infrastruktur dan kemudahan penghuni sentiasa selamat, selesa dan berfungsi dengan baik.
  • Kerajaan menjaga semua kaum tanpa mengira latar belakang untuk membantu mereka yang memerlukan.
  • Naik taraf merangkumi lif, penurapan jalan, sistem pencahayaan, pam air, taman permainan dan sistem pencegahan kebakaran.
  • Hannah Yeoh menyerahkan surat tawaran kediaman kepada 29 penerima dan 40 peniaga menerima tawaran premis Lestari Niaga.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), YB Hannah Yeoh berkata, peruntukan itu bagi memastikan infrastruktur dan kemudahan yang digunakan oleh penghuni sentiasa berada dalam keadaan selamat, selesa, serta berfungsi dengan baik.

“Ini adalah untuk memastikan keselesaan penduduk di Kuala Lumpur, supaya rakyat dan keluarga mempunyai tempat tinggal yang selesa, selain keperluan asas kehidupan harian mereka dapat dijaga dengan baik.

“Kita tidak mengira kaum, sama ada Melayu, Cina, India, Kadazan dan semua golongan lain. Ada yang miskin, ada yang kaya, tetapi apabila kita menjaga Kuala Lumpur, kita jaga semua dan membantu mereka yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi lawatan turun padang yang turut dihadiri Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Fadlun Mak Ujud di PPR Seri Pantai, di sini hari ini.

Pecahan peruntukan RM2.59 juta bagi PPR Seri Pantai merangkumi RM1.59 juta bagi naik taraf lif, RM421,000 bagi penurapan jalan, RM300,000 untuk sistem pencahayaan, RM220,430 bagi pam air, RM25,000 untuk taman permainan, serta RM20,870 bagi sistem pencegahan kebakaran.

Inisiatif penaiktarafan di PPR Seri Pantai merupakan sebahagian daripada pakej peruntukan RM300 juta daripada Kerajaan Persekutuan bagi menyelenggara serta membaik pulih kesemua 64 kawasan PPR dan Perumahan Awam (PA) di bawah seliaan DBKL di seluruh Kuala Lumpur secara berperingkat.

Dalam lawatan itu, Hannah turut menyerahkan surat tawaran kediaman PPR kepada 29 penerima yang terdiri daripada 15 penerima Melayu dan 14 penerima India, sekali gus memberi ruang kepada keluarga terbabit untuk menikmati kediaman lebih stabil dan teratur menerusi komitmen DBKL dalam menyalurkan kemudahan perumahan awam kepada golongan sasaran yang memerlukan.

Selain itu, seramai 40 peniaga tempatan dari lapan kawasan Parlimen di Kuala Lumpur turut menerima surat tawaran pengisian premis pusat penjaja di bawah inisiatif Lestari Niaga yang membolehkan mereka menjalankan perniagaan di premis milik DBKL secara sah, tersusun, dan kondusif untuk menjana pendapatan keluarga.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.