ESG perlu jadi budaya nasional, bukan sekadar agenda korporat – TPM Fadillah

Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 28 Julai 2026 – Agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) perlu dijadikan budaya nasional dan bukan sekadar dokumen pelaporan, syarat mendapatkan pembiayaan atau memenuhi kehendak pasaran antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • ESG mesti dijadikan asas dalam membuat keputusan, pengurusan dan operasi perniagaan untuk memastikan pembangunan mampan dan manfaat kepada rakyat.
  • Kerajaan rangka dasar strategik seperti NETR, NIMP 2030 dan Dasar Keusahawanan untuk sokong peralihan ke ekonomi rendah karbon dan berteknologi tinggi.
  • Kejayaan bergantung pada PMKS; amalan ESG meningkatkan daya saing, akses pembiayaan dan peluang pasaran antarabangsa secara adil dan inklusif.
  • Kerajaan akan perkukuh pasaran karbon berintegriti dan percepat penyahkarbonan menuju aspirasi sifar bersih 2050 melalui kerjasama seluruh negara.

Tegas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, ESG perlu menjadi asas dalam membuat keputusan, mengurus organisasi dan menjalankan perniagaan bagi memastikan pembangunan negara terus mampan serta memberi manfaat kepada rakyat.

“ESG tidak seharusnya dilihat sebagai satu dokumen pelaporan. ESG tidak seharusnya dianggap sebagai syarat untuk mendapatkan pembiayaan.

“Lebih daripada itu, ESG perlu menjadi budaya nasional yang membentuk cara kita membuat keputusan, membimbing cara kita mengurus organisasi dan menjalankan perniagaan,” katanya ketika merasmikan Sidang Kemuncak Industri dan Akademik MAPAN ESG 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, kerajaan telah merangka dasar strategik termasuk Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Dasar Keusahawanan Nasional 2030 serta Kerangka Ekonomi MADANI, bagi menyokong transformasi negara ke arah ekonomi rendah karbon, berteknologi tinggi dan lebih berdaya tahan.

Selain itu, beliau berkata, kejayaan agenda ESG negara juga bergantung kepada keupayaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), yang merangkumi kira-kira 97 peratus daripada keseluruhan perusahaan di negara ini untuk bergerak seiring dengan transformasi berkenaan.

“ESG perlu dilihat sebagai instrumen strategik negara untuk memperkukuh daya saing PMKS, meningkatkan akses kepada pembiayaan dan pasaran, serta memastikan peralihan kepada ekonomi rendah karbon dilaksanakan secara adil dan inklusif.

“PMKS yang bersedia menyesuaikan diri dengan amalan ESG akan berada pada kedudukan lebih baik untuk menembusi pasaran antarabangsa, menarik rakan niaga strategik serta meningkatkan nilai tambah produk dan perkhidmatan,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Datuk Seri Fadillah menegaskan, kerajaan juga akan terus memperkukuh pasaran karbon yang berintegriti serta mempercepat usaha penyahkarbonan ekonomi ke arah mencapai aspirasi karbon sifar bersih menjelang 2050.

Pada masa sama, beliau berkata, kejayaan agenda kelestarian memerlukan pendekatan keseluruhan negara melalui kerjasama kerajaan, industri, institusi kewangan, universiti, pertubuhan masyarakat sivil dan rakyat, bagi memastikan setiap dasar diterjemahkan kepada tindakan yang memberi impak kepada negara dan masyarakat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.