
KUALA LUMPUR, 28 Julai – Festival Filem Malaysia (FFM) bukan sekadar pentas mengiktiraf karya terbaik tanah air, malah terus memainkan peranan penting dalam memperkasa industri perfileman negara sebagai antara pemacu ekonomi kreatif Malaysia.
- FFM35 bertemakan "Spektrum Sinema", mencerminkan kepelbagaian bahasa, budaya, genre, teknologi dan generasi pembikin filem Malaysia.
- Kerajaan komited kukuhkan ekosistem kreatif bersama FINAS melalui pembangunan bakat, penghasilan kandungan berkualiti, promosi global dan menarik pelaburan asing.
- Sektor budaya dan kreatif menyumbang RM130.7 bilion, 6.8 peratus KDNK dan menyediakan lebih 763,000 peluang pekerjaan.
- Penyertaan FFM35 dibuka 29 Julai hingga 11 Ogos; Malam Anugerah pada 21 November di Panggung Sari, Istana Budaya.
Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi, Datuk Bahria Mohd Tamil berkata, FFM edisi ke-35 menjadi platform tertinggi dalam menghargai kreativiti, mengiktiraf kecemerlangan serta menetapkan penanda aras kualiti industri perfileman tempatan.
“Festival ini bukan sekadar sebuah pertandingan, sebaliknya menjadi pemangkin kepada penghasilan lebih banyak karya berkualiti, berdaya saing dan berpotensi menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Festival Filem Malaysia Ke-35 di Aurum Theatre, The Exchange TRX, Kuala Lumpur.
Bertemakan “Spektrum Sinema”, FFM35 mencerminkan kepelbagaian bahasa, budaya, genre, teknologi dan generasi pembikin filem yang membentuk identiti sinema Malaysia.
Menurut beliau, kerajaan terus komited memperkukuh ekosistem industri kreatif menerusi kerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), termasuk dalam aspek pembangunan bakat, penghasilan kandungan berkualiti, promosi ke pasaran global serta menarik pelaburan asing.
Berdasarkan Akaun Satelit Budaya dan Kreatif 2024, sektor budaya dan kreatif menyumbang RM130.7 bilion atau 6.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), selain menyediakan lebih 763,000 peluang pekerjaan.
Sehingga 24 Julai lalu, FINAS merekodkan kutipan RM111.17 juta menerusi Skim Wajib Tayang melibatkan 32 filem tempatan, dengan 14 daripadanya mencapai status box office dan mengutip RM107.49 juta.
Dalam perkembangan sama, penyertaan bagi FFM35 dibuka bermula 29 Julai hingga 11 Ogos ini, manakala kemuncak festival menerusi Malam Anugerah Festival Filem Malaysia Ke-35 akan berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya pada 21 November depan, sekali gus menjadi acara pertama diadakan selepas kerja-kerja naik taraf dewan berprestij itu selesai.
Sebanyak 30 kategori dipertandingkan pada edisi kali ini meliputi kategori utama, teknikal dan kreativiti, dengan penyertaan dibuka kepada penerbit filem yang memenuhi syarat kelayakan.