KUALA LUMPUR, 28 Julai – Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2026 bagi memperkukuh tadbir urus industri padi dan beras negara serta meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan terhadap penyelewengan.
- Pindaan menaikkan penalti Seksyen 22: denda sehingga RM250,000 individu; perbadanan RM500,000 kes pertama, RM1 juta bagi kesalahan berulang.
- Memperkenalkan penalti Seksyen 29: denda maks RM15,000 atau penjara sehingga enam bulan untuk kesalahan skala kecil.
- KPKM akan meneliti sistem penjejakan digital beras dan laksanakan penguatkuasaan bersasar tanpa membebankan golongan pesawah.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin berkata, pindaan ke atas Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) dibuat memandangkan kadar penalti sedia ada tidak pernah dipinda sejak 32 tahun lalu.
“RUU ini bukan sekadar satu pindaan perundangan biasa, tetapi merupakan manifestasi reformasi tegas dalam memperkukuh rantaian penguatkuasaan, mengekang manipulasi dan penyelewengan pasaran serta melindungi ekosistem makanan ruji negara daripada diganggu-gugat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU berkenaan.
RUU berkenaan diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan oleh 20 ahli dewan. Menerusi pindaan itu, kadar penalti am bawah Seksyen 22 dinaikkan kepada denda sehingga RM250,000 bagi individu, manakala pertubuhan perbadanan boleh didenda sehingga RM500,000 bagi kesalahan pertama dan RM1 juta bagi kesalahan berulang.
RUU itu turut memperkenalkan penalti khusus bawah Seksyen 29 dengan denda maksimum RM15,000 atau penjara sehingga enam bulan bagi kesalahan skala kecil seperti gagal mempamerkan lesen atau tanda harga.
Kenaikan denda tersebut telah disemak silang dengan akta setara seperti Seksyen 59 bawah Akta Perihal Dagangan (Akta 730) serta Seksyen 22 bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) bagi memastikan keharmonian serta ketegasan perundangan merentas agensi penguatkuasaan.
Berdasarkan statistik dari tahun 2020 hingga Mei 2026, sebanyak 1,246 kes dilaporkan melibatkan pemilikan padi atau beras daripada sumber tidak sah, merangkumi lebih 60 peratus daripada keseluruhan 1,957 kes kesalahan dalam industri berkenaan.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) juga bersedia meneliti pelaksanaan sistem penjejakan digital beras bagi memantau pergerakan bekalan, sekali gus membendung manipulasi pasaran melalui pertukaran pembungkusan berikutan perbezaan harga antara Beras Putih Tempatan (BPT) dan beras putih import.
Dalam pada itu, Datuk Chan memberi jaminan pelaksanaan undang-undang baharu itu tidak akan membebankan golongan pesawah.
“Penguatkuasaan akan dilaksanakan secara bersasar dengan memberi tumpuan kepada rantaian komersial pertengahan dan hiliran, termasuk pihak yang terlibat dalam penyeludupan serta penyorokan beras,” jelasnya.