
KAJANG, 28 Julai – Kerajaan menyasarkan pengurangan kadar kecederaan maut pekerjaan kepada 2.20 kes bagi setiap 100,000 pekerja menjelang 2030 menerusi peluncuran Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara 2026–2030 (OSHMP30).
- OSHMP30 memerlukan komitmen bersama kerajaan, majikan, pekerja dan semua pemegang taruh untuk mencapai matlamat keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
- Pelan memberi tumpuan kepada enam teras strategik termasuk pengukuhan tatakelola, kesihatan dan kesejahteraan, inovasi serta pemerkasaan PMKS dan sektor berisiko tinggi.
- Transformasi keselamatan dan kesihatan pekerjaan memerlukan perubahan budaya kerja, perkongsian ilmu, inovasi dan penglibatan aktif semua pihak, bukan hanya penguatkuasaan.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, perubahan pesat dunia pekerjaan akibat teknologi, automasi, kecerdasan buatan (AI), ekonomi gig, perubahan iklim dan peningkatan risiko psikososial memerlukan pendekatan baharu dalam pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
“Selepas 150 tahun perkembangan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di negara ini, persoalan yang perlu kita renungkan bersama bukan lagi sekadar sama ada tempat kerja itu selamat ataupun tidak, tetapi adakah tempat kerja kita benar-benar bersedia menghadapi cabaran masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Sambutan Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) 2026 serta Peluncuran OSHMP30 di sini, hari ini.
Dalam pada itu, kerajaan turut menetapkan sasaran mengurangkan kadar kecederaan pekerjaan kepada 1.60 kes bagi setiap 1,000 pekerja serta kadar penyakit pekerjaan kepada 59.8 kes bagi setiap 100,000 pekerja dalam tempoh lima tahun akan datang.
Menurut Datuk Khairul Firdaus, OSHMP30 merupakan pelan tindakan nasional yang memerlukan komitmen bersama kerajaan, majikan, pekerja serta semua pemegang taruh bagi memastikan matlamat keselamatan dan kesihatan pekerjaan negara tercapai.
Pelan itu memberi tumpuan kepada enam teras strategik merangkumi pengukuhan tatakelola KKP, meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan pekerja, mempercepat inovasi dan pendigitalan KKP.
Ia turut memberi penekanan kepada pemerkasaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta sektor berisiko tinggi, persediaan tenaga kerja menghadapi cabaran masa hadapan, selain membudayakan KKP menerusi pembangunan kapasiti, latihan dan penyelidikan.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Malaysia, Hazlina Yon berkata, pelaksanaan OSHMP30 perlu disokong perubahan budaya kerja serta penglibatan aktif semua pihak, bukan bergantung kepada penguatkuasaan semata-mata.
“Transformasi keselamatan dan kesihatan pekerjaan tidak boleh dicapai melalui penguatkuasaan semata-mata. Ia memerlukan perubahan budaya, perkongsian ilmu, inovasi dan penglibatan aktif semua pihak dalam membina persekitaran kerja yang selamat, sihat dan mampan,” katanya.
JKKP akan terus memperkukuh penguatkuasaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514), memperluaskan program pendidikan dan advokasi serta meningkatkan kerjasama bersama industri, kesatuan sekerja dan institusi pendidikan.
Sambutan Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) 2026 yang berlangsung selama dua hari dan berakhir hari ini bertemakan ‘Halatuju Selepas 150 Tahun KKP: Bagaimana Keadaan Kerja Anda?’.
Program itu menghimpunkan wakil kerajaan, majikan, pekerja, badan profesional, ahli akademik dan pemain industri bagi membincangkan cabaran baharu dunia pekerjaan, selain berkongsi amalan terbaik dalam aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan.