
KUALA LUMPUR, 28 Julai – Perluasan Bantuan Am Persekolahan (BAmP) pelajar Tingkatan Enam dilihat sebagai medium bagi memastikan golongan tidak lagi tercicir daripada menikmati bantuan persekolahan.
- Ibu bapa menyambut baik, yakin inisiatif memberi hala tuju lebih jelas serta memperkukuh pengurusan dan pembelajaran Tingkatan Enam.
- Bantuan dikatakan meringankan beban kewangan keluarga terutama kos keperluan dan perbelanjaan persekolahan anak.
- Pelajar menyifatkan bantuan bermakna, membantu meringankan pembelajaran dan mengurangkan tekanan kewangan keluarga.
- Perdana Menteri mengumumkan perkara itu semasa Majlis Perjumpaan bersama warga Kementerian Pendidikan di Putrajaya.
Pengumuman daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu menerima reaksi positif dalam kalangan ibu bapa yang ditemui RTM.
Bagi Kamalleza Adam berkata, inisiatif berkenaan memberi gambaran lebih jelas mengenai hala tuju Tingkatan Enam serta membantu memperkukuh sistem pengurusan dan pembelajaran pelajar.
“Sebagai ibu bapa, saya menyambut baik perkara ini untuk terus memperkasa Tingkatan Enam. Saya yakin langkah ini dapat memberikan gambaran yang lebih jelas kepada pelajar Tingkatan Enam serta mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih baik dan pengurusan yang lebih tersusun,” katanya.
Sementara itu, Rapiah Salleh berkata, bantuan berkenaan sedikit sebanyak membantu mengurangkan beban kewangan ibu bapa terutama dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak.
“Bantuan ini memang melegakan kami sebagai ibu bapa kerana dapat mengurangkan beban perbelanjaan persekolahan, terutama untuk membeli keperluan sekolah anak,” katanya.
Menurut pelajar Tingkatan Enam, Nur Adriana Juhari, bantuan itu amat bermakna kerana dapat membantu meringankan beban pembelajaran serta kewangan keluarganya.
“Bantuan ini sangat bermakna kepada saya kerana dapat meringankan beban pembelajaran dan membantu mengurangkan beban kewangan keluarga. Saya berharap inisiatif ini dapat diteruskan pada masa hadapan,” katanya.
Perdana Menteri mengumumkan perkara itu ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Kementerian Pendidikan di Putrajaya hari ini.