Kemahiran digital kunci wanita rebut peluang ekonomi baharu

Foto fail

KUALA LUMPUR, 28 Julai – Transformasi digital kini membuka ruang lebih luas kepada wanita untuk menceburi bidang keusahawanan digital, profesional teknologi serta pencipta kandungan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perkasakan kemahiran digital wanita supaya mereka dapat manfaatkan peluang ekonomi baharu dipacu teknologi.
  • Pandang AI sebagai pemangkin yang meningkatkan keupayaan manusia, bukannya menggantikan peranan wanita.
  • Perluasan program JPW seperti Wanita Gigabit dan latihan literasi digital penting untuk meningkatkan penyertaan ekonomi wanita.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying bagaimana pun berkata, penguasaan kemahiran digital perlu diperkasa dalam kalangan golongan itu.

Ini bagi membolehkan mereka memanfaatkan peluang ekonomi baharu yang dipacu teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), ekonomi gig dan perdagangan elektronik.

“Teknologi digital telah merapatkan jurang tersebut. Dengan hanya sebuah telefon pintar, capaian internet dan kemahiran digital, seseorang mampu membina perniagaan, memasarkan produk ke seluruh negara malah ke peringkat antarabangsa.”

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Wanita Gig And Business in Technology 2026 (Wanita Gigabit 2026) anjuran Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), hari ini.

Menurut Lim, kadar penyertaan tenaga buruh wanita setakat Mei 2026 masih lebih rendah berbanding lelaki iaitu 57.3 peratus berbanding 82.9 peratus.

“Jurang ini menunjukkan masih banyak ruang untuk
meningkatkan penyertaan wanita dalam ekonomi negara, khususnya melalui peluang pekerjaan yang lebih fleksibel, keusahawanan digital dan ekonomi
gig.”

Dalam masa sama, beliau berkata teknologi AI perlu dilihat sebagai pemangkin yang mampu meningkatkan keupayaan manusia, bukannya menggantikan peranan manusia.

“Kita perlu melihat teknologi ini sebagai rakan yang meningkatkan keupayaan manusia, bukannya menggantikan manusia. AI mampu membantu kita bekerja dengan lebih pantas, lebih cekap dan lebih produktif.”

Beliau berkata kerajaan menerusi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui JPW akan terus memperluas program pembangunan kapasiti, latihan kemahiran dan pemerkasaan digital bagi memastikan wanita tidak tercicir dalam arus teknologi.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Hanani Sapit memaklumkan, Program Wanita Gigabit yang dilaksanakan sejak 2024 bawah Inisiatif Digital, Ekonomi dan Advokasi STEM (Wanita@IDEAS) telah merekodkan penyertaan lebih 17,000 peserta.

Beliau berkata program itu memberi tumpuan kepada peningkatan literasi digital, kemahiran keselamatan siber serta pendedahan kepada peluang menjana pendapatan menerusi ekonomi digital.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.