
SHAH ALAM, 28 Julai – Kerajaan Selangor mengarahkan tindakan segera diambil terhadap penempatan haram warga asing di Kampung Budiman, Setia Alam yang dipercayai telah wujud sejak puluhan tahun.
- Mesyuarat Majlis Tindakan Keselamatan Negeri mengarahkan penguatkuasaan pencerobohan tanah dipercepatkan.
- MBSA akan mengeluarkan notis kepada pemilik tanah; tindakan diambil jika tanah milik kerajaan atau selepas pemilik diberi ruang.
- Jabatan Imigresen menyiasat dakwaan penempatan haram; operasi bersepadu agensi akan dilaksanakan jika disahkan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, arahan itu dibuat susulan keputusan Mesyuarat Majlis Tindakan Keselamatan Negeri (MKTN) Selangor yang menetapkan penguatkuasaan terhadap pencerobohan tanah perlu dipercepatkan.
Beliau berkata, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan mengeluarkan notis kepada pemilik tanah yang terlibat bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan.
“Saya minta MBSA melaksanakan segera sebagaimana yang telah diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Keselamatan Negeri baru-baru ini.
“Jika tanah itu milik kerajaan, sudah pasti kita akan laksanakan tindakan. Jika tanah persendirian, kita akan minta pemilik tanah mengambil tindakan terlebih dahulu dan memberi ruang yang secukupnya untuk pelaksanaannya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Festival Turath Islami Selangor di sini, hari ini.
Amirudin berkata, isu berkenaan bukan perkara baharu kerana notis dan tindakan penguatkuasaan pernah dilaksanakan sebelum ini, namun tindakan susulan akan dipercepatkan.
“Majlis Tindakan Keselamatan Negeri telah memberi arahan yang jelas kepada pegawai daerah. Jika berlaku pencerobohan di tanah kerajaan, kita akan ambil tindakan,” katanya.
Pada Isnin, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memaklumkan pihaknya sedang menyiasat dakwaan kewujudan penempatan haram warga asing di kawasan berkenaan walaupun operasi penguatkuasaan telah dijalankan pada awal April lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban dilaporkan berkata, operasi bersepadu melibatkan beberapa agensi akan dilaksanakan sekiranya siasatan mengesahkan dakwaan itu benar.