
KUALA TERENGGANU, 10 Jun – Dua lelaki berusia 21 dan 23 tahun direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes memukul seorang warga asing dan merosakkan harta benda di sebuah kedai runcit di daerah Marang.
- Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu.
- Ketua Polis Terengganu sahkan penahanan bagi membantu siasatan berhubung kejadian.
- Siasatan awal: tiga lelaki tempatan meminta pasport, seorang memukul mangsa dan merosakkan barangan kedai.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan; video pergaduhan tular di media sosial.
Perintah reman terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata, kedua-dua suspek ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian yang dilaporkan berlaku semalam.
“Siasatan awal mendapati mangsa didatangi tiga lelaki tempatan yang tidak dikenali dan meminta passport tanpa alasan munasabah.
“Salah seorang suspek kemudian memukul mangsa dan merosakkan barangan di dalam kedai runcit tersebut,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya dan Seksyen 427 kanun yang sama kerana khianat.
Terdahulu tular sebuah video di media sosial memaparkan pertengkaran sekumpulan lelaki dengan warga asing di sebuah kedai runcit, sehingga menyebabkan barangan di kedai tersebut rosak dan berselerakan.