
JOHOR BAHRU, 10 Jun – Dua sindiket eksploitasi pas lawatan kerja serta membekal pekerja asing secara tidak sah tumpas menerusi Op Serkap di dua lokasi sekitar Johor Bahru, sejak minggu lalu dengan penahanan tujuh individu membabitkan tiga ejen dan empat pekerja warga asing.
- Sindiket dipercayai membekalkan 500 pekerja asing di Johor dengan keuntungan bulanan sehingga RM225,000.
- Operasi 4 Jun: seorang ejen Bangladesh, 33, ditahan; 36 pasport dan wang tunai RM5,000 dirampas.
- Operasi di Taman Setia Tropika dan Taman Kempas Utama: ejen serta pekerja asing ditahan, 48 pasport dirampas.
- Sindiket disita dua kenderaan, wang tunai RM4,300; suspek disiasat mengikut pelbagai seksyen Akta Imigresen dan Akta Pasport.
Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus dalam kenyataan memaklumkan, sindiket berkenaan dipercayai membekalkan 500 pekerja asing di Johor dengan keuntungan bulanan mencecah RM225,000.
“Menerusi operasi pertama pada 4 Jun, seorang ejen lelaki warga Bangladesh, 33 tahun ditahan bersama rampasan 36 pasport dan wang tunai berjumlah RM5,000.
“Suspek disiasat mengikut Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1968,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu operasi kedua di Taman Setia Tropika dan Taman Kempas Utama pada Selasa pula menyaksikan dua ejen dan empat pekerja asing ditahan selain 48 pasport dirampas.
Turut disita dua kenderaan dipercayai digunakan sindiket dan wang tunai berjumlah RM4,300.
Dua ejen terbabit disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966.
Manakala empat pekerja tersebut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.