Bekas COO TH didakwa terima kos ubah suai rumah RM302,000

Gambar Hiasan

SHAH ALAM, 24 September – Bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Adi Azuan Abdul Ghani mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan menerima barang berharga berbentuk kos pengubahsuaian tiga rumah berjumlah RM302,499.27, sembilan tahun lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Didakwa menerima kos pengubahsuaian tiga rumah daripada pengarah AG Reka Sdn Bhd, Thamsulazri Ismail.
  • Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
  • Mahkamah benarkan ikat jamin RM50,000 dengan dua penjamin; syarat termasuk lapor diri SPRM setiap tiga bulan dan larangan hubungi saksi.

Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud oleh jurubahasa mahkamah.

Tertuduh, 56, mengangguk faham dan mohon dibicarakan.

Berdasarkan semua pertuduhan, Datuk Adi Azuan sebagai penjawat awam didakwa menerima kos pengubahsuaian rumah di Jalan Polo Air 13/58B, Seksyen 13 di sini bernilai RM235,866.58; Jalan Sepah Puteri 5/20B, Kota Damansara (RM50,698.74); dan sebuah lagi rumah di Jalan USJ Height 2/2A Subang Jaya bernilai RM15,933.95.

Ketiga-tiga transaksi itu diterima daripada Pengarah Syarikat AG Reka Sdn Bhd, Thamsulazri Ismail yang diketahui tertuduh ada kena-mengena dalam urusan berkenaan.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muaz Ahmad Khairuddin menawarkan jaminan RM70,000 serta syarat tambahan.

Bagaimanapun, peguam mewakili tertuduh, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin memohon jumlah itu dikurangkan kepada RM30,000 dengan alasan anak guamnya menanggung isteri dan empat anak.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan dua penjamin.

Tertuduh juga perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Putrajaya setiap tiga bulan; selain tidak dibenarkan berhubung dengan mana-mana saksi sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 25 November depan sebagai tarikh sebutan kes bagi serahan dokumen.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.