72 rakyat Malaysia ditahan di luar negara disyaki terlibat dadah

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan/Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 22 Oktober – Seramai 72 rakyat Malaysia ditahan di luar negara kerana disyaki terbabit dalam kesalahan berkaitan dadah bagi tempoh Januari hingga 15 Oktober tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rampasan 1,704 kilogram dadah bernilai RM81.76 juta antara Januari hingga 15 Oktober.
  • Tangkapan melibatkan beberapa negara termasuk Thailand, Indonesia, Taiwan, Singapura dan Jepun.
  • Sindiket antarabangsa menggunakan tawaran pekerjaan, imbuhan lumayan, pembiayaan perjalanan dan penghantaran barangan untuk memperdaya warga Malaysia.
  • PDRM menasihatkan belia dan pelajar menolak tawaran mencurigakan, laporkan maklumat ke Hotline JSJN 012-208 7222.

Dalam tempoh sama, sebanyak 1,704 kilogram (kg) dadah bernilai RM81.76 juta dirampas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, penahanan itu membabitkan beberapa negara dan wilayah, termasuk Thailand, Indonesia, Taiwan, Singapura dan Jepun.

Beliau berkata, Thailand merekodkan jumlah tangkapan tertinggi membabitkan 19 rakyat Malaysia, diikuti Indonesia (16), Taiwan (lapan), Singapura (lapan) dan Jepun (lima).

Negara lain ialah Filipina (empat), India (tiga), Hong Kong (tiga), Macau (dua), serta Korea Selatan, Nigeria, Maldives dan Sri Lanka yang masing-masing merekodkan seorang tangkapan.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui JSJN memandang serius penglibatan warganegara Malaysia dalam kegiatan pengedaran dan penyeludupan dadah di luar negara.

“Perkembangan ini bukan sahaja mencerminkan ancaman jenayah dadah rentas sempadan yang semakin kompleks, malah berpotensi menjejaskan imej dan reputasi negara di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara kes yang mendapat perhatian ialah penahanan lima warga Malaysia di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo, pada Oktober baru-baru ini kerana disyaki cuba menyeludup kira-kira lima kg kokain bernilai RM3.1 juta.

Selain itu, seorang lelaki warga tempatan dilaporkan ditahan di Macau kerana disyaki membawa hampir tiga kg heroin.

Manakala seorang lagi ditahan di Pusat Pemeriksaan Tuas, Singapura, selepas pemeriksaan menemukan heroin, syabu dan ganja.

Hussein berkata, pihaknya memandang serius kemungkinan sindiket dadah antarabangsa menggunakan rakyat Malaysia sebagai pembawa atau penghantar dadah melalui pelbagai kaedah.

“Taktik itu termasuk tawaran pekerjaan, imbuhan lumayan, pembiayaan perjalanan dan penghantaran barangan bagi pihak ketiga.

“Taktik itu berpotensi memperdaya individu yang kurang menyedari risiko serta implikasi undang-undang, sekali gus mendedahkan mereka kepada tindakan undang-undang berat di negara berkenaan,” katanya.

Menurutnya, rakyat Malaysia yang berada di luar negara tertakluk kepada undang-undang negara berkenaan, termasuk peruntukan hukuman berat bagi kesalahan dadah tertentu.

Sehubungan itu, masyarakat khususnya golongan belia, pelajar dan individu yang bakal ke luar negara dinasihatkan supaya menolak tawaran pekerjaan, perjalanan percuma atau imbuhan lumayan yang mencurigakan.

Orang ramai juga diingatkan supaya tidak membawa, menjaga atau menyerahkan barangan milik pihak lain tanpa mengetahui kandungan dan tujuan sebenarnya.

“PDRM melalui JSJN menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap kegiatan pengedaran dan penyeludupan dadah,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan dadah boleh menghubungi Hotline JSJN di talian 012-208 7222.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.