
LABUAN, 22 Oktober – Dua wanita warga Filipina ditahan selepas disyaki melakukan kesalahan imigresen menerusi Op Sapu yang dijalankan di lima premis kediaman di sini.
- Seramai 49 individu warganegara Malaysia dan warga asing diperiksa semasa operasi.
- Operasi dijalankan dari 11.30 malam hingga 4.00 pagi melibatkan sepasukan pegawai dan anggota.
- JIM Labuan menegaskan tindakan berterusan terhadap pelanggar undang-undang imigresen termasuk majikan atau pelindung PATI.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Labuan Mohd Redzuan Nawi menerusi kenyataan berkata dalam operasi itu, seramai 49 individu warganegara Malaysia dan warga asing diperiksa.
Beliau berkata operasi bermula bermula pukul 11.30 malam kelmarin dan berakhir pada 4.00 pagi semalam melibatkan sepasukan pegawai dan anggota.
“Hasil pemeriksaan mendapati seramai dua perempuan warganegara Filipina ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155].
“Selain itu, satu notis saman kepada saksi turut dikeluarkan bagi membantu proses siasatan”, katanya menerusi satu kenyataan.
Kedua-dua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Labuan untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Dalam pada itu, JIM Labuan menegaskan tindakan akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen, termasuk pihak yang menggaji atau melindungi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).