KUALA LUMPUR, 25 Julai - Seorang penghantar barang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan menipu dua individu dalam urusan permit kerja membabitkan kerugian lebih RM70,000, tahun lepas.
Rebecca Rhina Philip, 36, didakwa menipu lelaki warga China, Deng Yawei, 27, dan seorang wanita Toh Kim Yuan, 28, dengan memperdayakan mereka dalam urusan permit kerja yang tidak wujud sehingga mendorong kedua-dunya memasukkan wang RM79,550 ke dalam dua akaun bank milik tertuduh.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran pusat beli belah di Sentul antara 24 Ogos dan 20 Nov 2023.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dengan sebat, dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa ASP Muhamad Sapri Yaakub tidak menawarkan jaminan, namun peguam Tan Wei Meng dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili Rebecca memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga.
Majistret Illi Marisqa Khalizan membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Sept ini untuk sebutan kes. - BERNAMA