Piala Uber: Malaysia ke suku akhir selepas benam Afrika Selatan 5-0

Beregu wanita muda negara Ong Xin Yee–Carmen Ting menundukkan gandingan Afrika Selatan Johanita Scholtz–Amy Ackerman 21-16, 21-14 untuk mata keempat negara/Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 26 April – Skuad badminton wanita negara mengesahkan tempat ke peringkat kalah mati saingan Piala Uber selepas mencatat kemenangan 5-0 ke atas Afrika Selatan dalam aksi kedua Kumpulan B, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Barisan pemain negara mempamerkan aksi dominan, memberi amaran awal menjelang pertemuan tumpuan menentang Jepun esok.
  • K. Letshanaa memulakan langkah cemerlang, menewaskan Johanita Scholtz 21-6, 21-10.
  • Wong Ling Ching pamer corak permainan agresif, menundukkan Chloe Lai 21-8, 21-4.
  • Beregu Ong Xin Yee dan Carmen Ting menang 21-16, 21-14; Low Zi Yu-Chong Jie Yu menutup malam 21-12, 21-5.

Kemenangan bergaya di Horsens itu menyaksikan barisan pemain negara mempamerkan aksi dominan, sekali gus memberi amaran awal menjelang pertemuan tumpuan menentang Jepun, esok.

Pemain perseorangan utama, K. Letshanaa memulakan langkah cemerlang apabila mudah menewaskan Johanita Scholtz menerusi keputusan 21-6, 21-10 dalam aksi yang berlangsung berat sebelah.

Momentum kemenangan diteruskan Wong Ling Ching yang mempamerkan corak permainan agresif untuk menundukkan Chloe Lai 21-8, 21-4, sekali gus menggandakan kelebihan buat skuad negara.

Siti Zulaikha kemudian memastikan mata kemenangan mutlak menjadi milik Malaysia selepas menewaskan Elme De Villiers 21-11, 21-5.

Skuad negara terus menambah derita lawan menerusi beregu Ong Xin Yee-Carmen Ting yang menang 21-16, 21-14 ke atas gandingan Amy Ackerman-Johanita Scholtz.

Gandingan muda, Low Zi Yu-Chong Jie Yu melengkapkan malam gemilang Malaysia apabila menumbangkan Elme De Villiers-Anri Schoonees 21-12, 21-5 untuk menutup saingan dengan keputusan penuh 5-0.

Malaysia dijadualkan bertemu Jepun esok bagi penentuan juara Kumpulan B.