“Pocket Rocketman” bangkit walau penat, raih gangsa di Nilai

Foto Bernama

NILAI, 26 April – Kekurangan rehat dan kegagalan melelapkan mata tidak menghalang jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang, menghadiahkan pingat gangsa dalam acara pecut individu lelaki pada Kejohanan Piala Dunia Berbasikal Trek 2026 di Velodrom Nasional, Nilai, malam ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tidak dapat tidur selepas keirin akibat lonjakan adrenalin dan pengambilan kafein, hanya berjaya tidur-tidur ayam.
  • Beraksi sepanjang hari dalam keadaan keletihan dan mengantuk, namun mengekalkan fokus sepanjang pusingan.
  • Rehat singkat selepas suku akhir, sekitar satu jam sahaja, menjejaskan proses pemulihan sebelum kembali ke trek.
  • Dalam separuh akhir menentang Nicholas Paul, bermula kuat namun kekurangan tenaga menjejaskan perlumbaan seterusnya.

Azizulhasni, yang diberi julukan “Pocket Rocketman”, mengakui berdepan cabaran fizikal dan mental apabila tidak dapat tidur susulan lonjakan adrenalin serta pengambilan kafein sebelum perlumbaan keirin semalam, sekali gus menjejaskan proses pemulihan menjelang saingan pecut.

Situasi itu menyebabkan atlet berusia 38 tahun berkenaan terpaksa beraksi dalam keadaan keletihan dan mengantuk sepanjang hari pertandingan, namun tetap mengekalkan fokus untuk mengharungi setiap pusingan sehingga berjaya menaiki podium.

“Selepas tamat perlumbaan lewat malam semalam, saya pulang dan cuba tidur, namun tidak berjaya. Mungkin disebabkan lonjakan adrenalin serta pengambilan kopi sebelum perlumbaan, jadi agak sukar untuk melelapkan mata,sekadar tidur-tidur ayam.

“Saya hanya mampu berbaring dan berpusing ke kiri dan kanan hingga sekitar 6.30 pagi sebelum perlu bersiap untuk sesi pemanasan badan kerana kelayakan (pecut) bermula awal pagi,” katanya, yang sebelum itu mencipta sensasi dengan merangkul emas acara keirin.

Pada masa sama, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu berkata cabaran semakin dirasai selepas peringkat suku akhir apabila tempoh rehat yang singkat menjejaskan proses pemulihan, dengan hanya kira-kira satu jam diberikan sebelum kembali ke trek.

Mengulas aksi separuh akhir menentang pelumba Trinidad dan Tobago, Nicholas Paul, juara dunia 2017 itu berkata beliau bermula baik dengan memenangi perlumbaan pertama, namun kekurangan tenaga memberi kesan dalam perlumbaan seterusnya.

Pingat emas acara itu dimenangi juara dunia, Harrie Lavreysen dari Belanda, sekali gus menebus kekecewaan selepas meraih perak dalam acara keirin, manakala Nicholas Paul terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.

Sebagai rekod, Azizulhasni Awang turut merangkul pingat gangsa acara pecut individu lelaki pada siri Piala Dunia di Perth, Australia pada Mac lalu.