AHIN 2026 angkat industri sukan sebagai tema sambutan

Ketua Pengarah MyIPO, Yusnieza Syarmila Yusoff /RTM

PETALING JAYA, 26 April – Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) mengangkat industri sukan sebagai sektor ekonomi bernilai tinggi menerusi tema “Harta Intelek Nadi Malaysia MADANI: IP & Sukan- Dari Idea ke Podium” sempena sambutan Hari Harta Intelek Negara 2026 (HHIN2026).

RINGKASAN BERITA AI
  • Perlindungan harta intelek merangkumi teknologi latihan, reka bentuk peralatan dan hak penyiaran digital, penting selain prestasi atlet.
  • Strategi komersial ditopang inovasi berterusan dan perlindungan jenama meningkatkan daya saing industri sukan di peringkat global.
  • AHIN 2026 mempertandingkan enam kategori dengan penyertaan melebihi 500 peserta.
  • Kategori khas Anugerah Inspirasi MADANI diperkenalkan untuk meraikan atlet dan organisasi yang memanfaatkan harta intelek.

Ketua Pengarah MyIPO, Yusnieza Syarmila Yusoff berkata, kejayaan sektor sukan bukan hanya bergantung kepada prestasi atlet semata-mata, malah turut melibatkan perlindungan harta intelek (IP) yang merangkumi aspek teknologi latihan, reka bentuk peralatan hingga ke hak penyiaran digital.

Beliau menjelaskan bahawa strategi komersial yang disokong oleh inovasi berterusan dan perlindungan jenama merupakan nadi utama yang membawa industri sukan ke tahap yang lebih kompetitif di peringkat global.

“Kejayaan hari ini turut disokong oleh pembangunan kandungan digital dan strategi komersil yang semuanya berkait rapat dengan perlindungan harta intelek,” katanya ketika menyertai pengamal media dalam program Serve & Protect: HHIN Media Pickleball Challenge anjuran MyIPO di sini, hari ini.

Mengulas mengenai Anugerah Harta Intelek Negara (AHIN) 2026 yang akan berlangsung dari 28 hingga 30 April ini, Yusnieza Syarmila memaklumkan sebanyak enam kategori dipertandingkan dengan penyertaan melebihi 500 peserta.

Kategori berkenaan merangkumi Nadi Kreatif (hak cipta), Juara Jenama (cap dagangan), Wira Inovatif (paten), InoReka (reka bentuk perindustrian), Permata Cilik (pelajar sekolah) serta Organisasi Terunggul Harta Intelek.

Tambah beliau, buat julung kalinya kategori khas Anugerah Inspirasi MADANI diperkenalkan bagi meraikan pencapaian atlet dan organisasi yang memberi sumbangan besar kepada pembangunan industri sukan melalui pemerkasaan harta intelek.

Majlis kemuncak AHIN 2026 dijadualkan berlangsung pada 30 April di Menara MyIPO dan bakal disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.

Majlis tersebut bertujuan memberi pengiktirafan kepada pencipta, inovator dan pemilik jenama yang berjaya memanfaatkan sistem harta intelek bagi menjana nilai ekonomi yang mampan untuk negara.